PETALING JAYA: Majlis Syura Ulama Pas menerima rayuan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Perlis yang dilucutkan keahlian pada Disember lalu namun status keahlian mereka hanya boleh diputuskan oleh Pas pusat.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, dalam Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 27 Januari lalu, rayuan ketika-tiga ADUN tersebut iaitu Saad Seman (ADUN Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (ADUN Bintong) dan Mohd. Ridzuan Hashim (ADUN Guar Sanji) antara yang turut dibincangkan.
Katanya, Mesyuarat Majlis Syura Ulama menerima rayuan yang dikemukakan ketiga-tiga ahli Pas Perlis tersebut berdasarkan enam faktor termasuk prinsip al-Quran, manhaj Nabi Muhammad SAW dan kaedah Fiqh.
“Perintah al-Quran ialah ukhuwah dan persaudaraan, bukannya menghentikan ahli tanpa kasih sayang. Rahmat Allah dan islah diutamakan, bukan menyemarakkan nafsu amarah dalam jamaah.
“Manhaj Nabi Muhammad SAW dalam hukuman adalah mendahulukan taubat, membuka pintu kemaafan dan bukan tergesa-gesa menghukum seperti hadith al-Ghamidiyyah dan Juhainah.
“Kaedah Fiqh menyebutkan ‘kemudaratan hendaklah dihilangkan. Apabila tiga kawasan DUN tiada wakil rakyat berfungsi, maka terhasillah kemudaratan awam yang jelas. Kebajikan rakyat tidak boleh dikorbankan demi ketegasan pentadbiran parti,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Katanya antara faktor lain dipertimbangkan adalah siasah syar‘iyyah yang matlamatnya adalah menjaga kesatuan saf, memelihara kepercayaan dalaman serta mengurus khilaf tanpa memusnahkan jamaah.
Katanya, rakyat pula tidak boleh menjadi mangsa konflik dalaman parti.
“Pas adalah jamaah Islam yang memperuntukkan kuasa yang besar kepada Majlis Syura Ulama dan Mursyidul Am dalam Perlembagaan untuk memelihara Perlembagaan supaya dasar Pas dipatuhi dalam kegiatan dan pentadbiran Pas.
“Majlis Syura Ulama perlu membawa watak adil, pendamai dan pemaaf dalam menyatukan ahli Pas yang berpecah, khasnya di Perlis supaya tidak berterusan, ulama tidak boleh menambah api permusuhan yang marak menyala,” katanya.
Pada 24 Disember lalu, Pas Pusat melucutkan keahlian tiga ADUN di Perlis serta merta berdasarkan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang membuat ketetapan berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan Pas (Pindaan 2025), bahawa ahli-ahli Badan Perundangan Pas yang berikut adalah terhenti serta-merta keahliannya sebagai ahli.
Pas mengadakan mesyuarat tergempar ketika itu bagi membincangkan kemelut kepemimpinan Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli yang didakwa hilang majoriti sokongan dan kepercayaan daripada ADUN.
Pemecatan itu dilakukan susulan tindakan ketiga-tiga ADUN terbabit yang menghantar akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang menyatakan mereka tidak lagi menyokong kepemimpinan Mohd. Shukri. – UTUSAN










