Ketelusan alasan tidak hadir prosiding

Ketelusan alasan tidak hadir prosiding

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Tidak yakin bakal mendapat keadilan punca beberapa pemimpin dan ketua bahagian Bersatu tidak hadir prosiding Lembaga Disiplin parti itu kelmarin.

Ketua Bersatu Bahagian Teluk Intan, Kamaruddin Majid berkata, tindakan tersebut setelah merasakan Lembaga Disiplin mempunyai kepentingan untuk satu pihak sahaja apabila Pengerusi Lembaga Disiplin, Datuk Mohammed Radzi Abdul Manan merupakan bapa mentua kepada Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Sepatutnya saya menghadap Lembaga Disiplin pada 12 Februari pukul 5.20 petang atas dakwaan menipu tentang jumlah kehadiran wakil-wakil bahagian Bersatu pada sidang akhbar di Ipoh baru-baru ini.

“Namun saya tidak menghadap kerana merasakan lembaga mempunyai kepentingan. Jadi saya ragu tidak mendapat keadilan. Kawan-kawan saya yang dipanggil juga mungkin rasa tidak diadili sepenuhnya, menyebabkan mereka juga tidak hadir.

“Kami anggap Lembaga Disiplin tidak telus dalam menjalankan siasatan. Saya takut dianiaya atau tidak diberi keadilan yang sebenarnya. Bagi saya tak perlu saya hadir,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin hanya Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, Shafiq Abdul Halim daripada 14 ahli Bersatu yang hadir di ibu pejabat parti itu bagi menghadiri prosiding Lembaga Disiplin.

Selain Kamarudin, antara pemimpin Bersatu Perak yang dipanggil ialah dua Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Yunus Nurdin selain dua Ketua Bahagian termasuk Ahmad Ishak (Gopeng) dan Mohd. Yunus Mohd. Yusof (Tapah).

Menurut Kamarudin, setakat ini beliau belum menerima maklumat mengenai tindakan terhadapnya tidak hadir ke Lembaga Disiplin.

“Saya reda apa juga tindakan yang akan dikenakan. Kalau nak gantung, kalau nak pecat, pecatlah tiada masalah sebab kita berjuang bukan susuk tubuh seseorang, kita berjuang untuk rakyat,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN