PETALING JAYA: Datuk Seri Hamzah Zainudin dan kumpulannya bukan lagi rakan parti itu, sebaliknya sudah menjadi ‘musuh’ kepada Bersatu dan secara tidak langsung kepada Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk
berkata, Hamzah dan rakan-rakannya sedang giat melakukan pelbagai serangan serta propaganda untuk menyerang Bersatu.
Kata beliau, tindakan tersebut bukan sahaja menjejaskan Bersatu tetapi turut Perikatan Nasional (PN) dan kerana itu Hamzah bersama rakan-rakannya juga perlu dianggap sebagai musuh oleh gabungan politik itu.
“Menyerang Bersatu yang merupakan parti komponen PN, sedikit sebanyak akan menjejaskan PN.
“Atas sebab itu, Hamzah dan penyokongnya bukan rakan, sebaliknya adalah musuh kepada Bersatu dan berikutan serangan berterusan mereka terhadap parti anggota PN, sepatutnya mereka juga adalah musuh kepada PN,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Pada 14 Februari lalu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut mengisytiharkan bahawa diri beliau penentang utama kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas dirinya dipecat dari parti.
Dalam pada itu, Tun Faisal turut mempertahankan kenyataannya yang meminta Hamzah dan lima ahli Parlimen yang dipecat Bersatu untuk berpindah dari blok pembangkang.
“Pemecatan mereka menjadikan mereka ahli Parlimen bebas yang tidak berparti dan bukan sebahagian daripada blok pembangkang.
“Sekiranya seseorang mempertahankan pihak yang tidak lagi mempunyai kaitan dengan PN, bukan lagi ahli Parlimen PN, malah telah mengisytiharkan diri sebagai musuh kepada parti komponen PN, sedangkan pada masa yang sama mengkritik pemimpin parti anggota PN sendiri maka keadaan itu lebih menepati definisi ‘menyerang rakan sendiri’,” katanya. – UTUSAN










