KUALA LUMPUR: Gempa bumi berukuran 6.8 magnitud yang berlaku di luar pesisir Sabah tidak menimbulkan ancaman struktur bangunan di negeri itu kerana kedudukan yang sangat dalam melebihi 600 kilometer di bawah permukaan bumi.
Presiden Institusi Jurutera Malaysia (IEM), Ir. Prof. Dr. Jeffrey Chiang Choong Luin berkata, walaupun magnitudnya kuat dan pusat gempa terletak kurang 100 kilometer di timur laut Kota Kinabalu, kebanyakan kawasan hanya merasai gegaran ringan.
“Ketinggian angka magnitud semata-mata tidak menentukan tahap kerosakan. Bangunan moden didapati mampu menyerap jumlah pergerakan yang dialami semasa gempa ini.
“Hayunan kecil pada bangunan tinggi adalah normal dan menunjukkan struktur berfungsi seperti yang direka,” ujarnya dalam kenyataan.
Semalam media melaporkan, gempa bumi bermagnitud 6.8 Richter yang melanda perairan Sabah adalah yang terkuat melanda negara dalam tempoh 11 tahun.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisyam Mohd. Anip berkata, kejadian gempa terkuat sebelum ini pernah direkodkan melanda daerah Ranau,Sabah dengan magnitud 6.0 Richter pada 5 Jun 2015.
Jeffrey menambah, kebimbangan mengenai risiko tsunami susulan gempa itu adalah tidak berasas kerana tsunami merosakkan lazimnya tercetus akibat gempa cetek yang tidak berlaku ketika gempa bumi tersebut.
“Kebimbangan mengenai tsunami adalah tidak berasas. Tsunami yang merosakkan lazimnya tercetus oleh gempa cetek yang menyebabkan anjakan menegak dasar laut.
“Namun mekanisme itu tidak berlaku dalam kes ini. Tanah runtuh di cerun selepas hujan lebat merupakan risiko sekunder yang lebih realistik,” katanya.
Katanya, gempa sedalam itu lazimnya membawa risiko minimum kepada bangunan yang dibina mengikut piawaian kejuruteraan.
Pada masa sama, IEM menekankan langkah persediaan asas seperti memastikan perabot diikat kemas, menyediakan kit kecemasan dan merancang pelan keselamatan keluarga mampu meningkatkan tahap kesiapsiagaan masyarakat.
“Gempa bumi yang berlaku pada kedalaman sedemikian mungkin menimbulkan risiko minimum kepada bangunan yang dibina dengan baik.
“Ia menjadi peringatan untuk mengekalkan standard kejuruteraan, memastikan keselamatan bangunan serta sentiasa bersedia dan tidak panik.”
Kata Jeffrey lagi, gempa bumi di Sabah tersebut menjadi peringatan bahawa pemahaman risiko, kejuruteraan yang kukuh dan komuniti berpengetahuan adalah asas ketahanan menghadapi bencana. – UTUSAN










