PETALING JAYA: Sabah dan Sarawak perlu bersatu dengan agenda bersama yang jelas berlandaskan kekuatan dimiliki untuk menentukan pembentukan Kerajaan Persekutuan, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, ini kerana jumlah kerusi Parlimen di wilayah Borneo berupaya menentukan barisan kepimpinan Kerajaan Persekutuan.
“Sabah dan Sarawak mempunyai 56 kerusi Parlimen. Bersama Labuan, jumlahnya 57. Dalam PRU yang sengit, blok ini mampu menentukan siapa yang membentuk kerajaan Persekutuan.
“Sesebuah gabungan memerlukan sekurang-kurangnya 112 kerusi untuk mentadbir. Jika tiada pihak memperoleh majoriti kukuh, maka Borneo menjadi penentu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, kedua-dua negeri berkenaan perlu kekal tenang dan memberi tumpuan kepada agenda kestabilan, pembangunan, pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), perkongsian hasil yang adil serta pengukuhan hak negeri.
Menurutnya, landskap politik di Semenanjung Malaysia kini semakin dipengaruhi isu perkauman, agama dan persaingan ideologi.
“Ini termasuk perdebatan mengenai kerjasama dengan parti seperti Democratic Action Party (DAP). Fokus sering beralih kepada soal identiti berbanding dasar.
“Justeru, Sabah dan Sarawak mesti kekal stabil. Keutamaan kita seharusnya tertumpu kepada kestabilan, pembangunan, pelaksanaan MA63, perkongsian hasil yang adil serta pengukuhan hak negeri,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau mengakui laluan politik Sarawak lebih tersusun dengan dominasi parti-parti tempatan, berbeza dengan situasi politik di Sabah.
“Komposisi politik Sabah lebih kompleks dan memerlukan formula yang praktikal serta boleh diterima bagi melindungi kepentingan negeri,” katanya. – UTUSAN










