PETALING JAYA: Anggaran kos lebih RM1.3 bilion untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sepatutnya boleh dimanfaatkan bagi memperkukuh agenda pembangunan ekonomi negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Penganalisis ekonomi UniKL, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, jumlah itu yang hampir menyamai 0.35 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara mampu digunakan untuk pelbagai pelaburan berimpak tinggi.
Menurut beliau, dana tersebut boleh membina sehingga 200 sekolah baharu atau melatih kira-kira 500,000 pekerja dalam bidang teknologi serta kemahiran digital bagi memenuhi keperluan pasaran pekerjaan masa depan.
Katanya, peruntukan itu juga boleh disalurkan kepada pembangunan bakat menerusi program seperti Malaysia AP Talent Fund dengan melatih 5,000 tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk industri cip elektronik.
“Langkah itu berupaya menarik pelaburan langsung asing (FDI) bernilai sehingga RM30 bilion melalui pembukaan tiga kilang pembungkusan termaju di negara ini.
“Jika Malaysia mempunyai tenaga kerja mahir serta mematuhi piawaian buruh dan kelestarian antarabangsa, negara berpeluang menawarkan produk bernilai premium kepada pasaran Amerika Syarikat. Jika tidak, pelaburan baharu mungkin beralih ke negara pesaing seperti Vietnam,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembubaran Parlimen tidak akan ditangguhkan semata-mata untuk mempertahankan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.
Sebaliknya keutamaan beliau ketika ini adalah kepada usaha dan langkah untuk memulihkan ekonomi negara di samping menyelesaikan masalah rakyat kerana ketidaktentuan politik dan pilihan raya yang terlalu kerap hanya akan menjejaskan keyakinan pelabur dan mengganggu usaha kerajaan menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke negara ini.
Sebelum ini, bekas bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, kos untuk mengadakan PRU16 akan meningkat dengan mencecah lebih RM1.3 bilion.
Aimi Zulhazmi berkata, RM1.3 bilion itu juga boleh digunakan untuk menaik taraf 100 kolej vokasional dan 50 kolej komuniti menjadi pusat latihan berteraskan Revolusi Industri 4.0.
Katanya, kemudahan moden seperti robot industri, mesin kawalan berangka komputer (CNC), makmal pembungkusan termaju dan teknologi tenaga boleh diperbaharui dapat memberi pendedahan praktikal kepada pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Kerajaan juga boleh menawarkan subsidi penuh yuran pengajian kepada sehingga 200,000 lepasan SPM daripada keluarga berpendapatan rendah untuk mengikuti latihan kemahiran berpermintaan tinggi. Mereka berpotensi memperoleh gaji sehingga RM3,500 sebulan, melebihi kadar gaji minimum,” katanya.
Sementara itu, penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Datuk Prof. Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, kos pilihan raya tidak boleh dianggap sebagai pembaziran mutlak kerana ia merupakan sebahagian daripada kos demokrasi.
Katanya, sekiranya PRU16 berjaya menghasilkan kerajaan yang lebih stabil dan mendapat mandat kukuh untuk mentadbir selama lima tahun, perbelanjaan RM1.3 bilion itu boleh dilihat sebagai pelaburan bagi mengukuhkan institusi demokrasi negara. – UTUSAN










