Azmin beri bayangan kerjasama Bersatu-PH - Utusan Malaysia

Azmin beri bayangan kerjasama Bersatu-PH

MOHAMED Azmin Ali berucap pada Sambutan Ulangtahun ke-10 Bersatu di Dewan Sivik MBPJ malan ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi bayangan untuk menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.

Desas-desus dan bayangan kerjasama dengan PH semakin kuat apabila Mohamed Azmin dalam masa yang sama turut mengaitkan Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang digunakan Bersatu dalam Majlis Sambutan Ulang Tahunnya malam ini dengan menyifatkan ia sebagai sesuatu yang signifikan.

Katanya, ini kerana Bersatu mendapat kebenaran menggunakan kemudahan dewan milik pihak berkuasa tempatan (PBT) yang merupakan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Selangor pimpinan PH.

“Ini julung kali Bersatu diberi penghormatan pakai Dewan Sivik MBPJ.

“Faham atau tidak faham ? ” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 malam ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Bersatu kini mencari hala tuju dan jajaran politik baharu termasuk kemungkinan bersama Pakatan Harapan (PH) selepas kedudukannya dalam Perikatan Nasio­nal (PN) dilihat semakin tersisih

Menurut sumber pimpinan Bersatu, perkara itu dikatakan mendapat ‘restu’ daripada pimpinan tertinggi parti, malah cadangan jajaran itu juga di bawah pengetahuan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelas sumber berkenaan, rundingan tersebut dimulakan di Selangor di mana ia akan menjadi negeri pertama bagi menjayakan kerjasama berkenaan.

Dalam pada itu Mohamed Azmin berkata, Bersatu ‘diintai’ parti lain yang ingin membentuk pakatan bagi berdepan lawan termasuk UMNO.

“Ada sampaikan salam. Salam dan senyuman akan disambut dengan kebijaksanaan demi membina kemakmuran Malaysia anak watan
menerusi gabungan tenaga yang mantap,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×