PUTRAJAYA: Tiada keperluan untuk kerajaan mempercepatkan pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) selagi kerajaan masih mempunyai majoriti dan pentadbiran boleh berfungsi sebaiknya.
Pengecualian hanya wajar berlaku sekiranya kerajaan benar-benar kehilangan majoriti di Dewan Rakyat, berlaku kebuntuan pentadbiran yang serius atau kerajaan tidak lagi mampu meluluskan perkara asas seperti belanjawan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) di Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mashitah Mohd. Udin berkata, masa terbaik untuk membubarkan Parlimen ialah apabila penggal semasa hampir tamat, bukannya mengadakan PRU lebih awal tanpa keperluan yang benar-benar mendesak.
Beliau menjelaskan, pendekatan menunggu sehingga tamat penggal juga selaras dengan semangat cadangan Parlimen berpenggal tetap atau fixed-term Parliament, bermatlamat memberikan kepastian mengenai tempoh sesebuah kerajaan, mengurangkan spekulasi berterusan tentang tarikh pilihan raya dan mengelakkan suasana politik negara sentiasa berada dalam mod berkempen.
“Pilihan raya bukan sekadar soal mencari masa yang paling menguntungkan parti pemerintah, tetapi soal menghormati mandat rakyat.
“Ini termasuk memastikan dasar sempat dilaksanakan dan membolehkan rakyat menilai kerajaan berdasarkan rekod pentadbiran yang lengkap,” katanya semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menolak gesaan supaya PRU16 diadakan lebih awal, sebaliknya meminta semua pihak memberi ruang kepada kerajaan pimpinannya menamatkan penggal penuh demi memastikan pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik negara terus terpelihara.
Mashitah berkata, Tidak elok sekiranya PRU diadakan terlalu awal hanya kerana pertimbangan politik jangka pendek atau kerana sesebuah parti merasakan kedudukannya sedang kuat.
Katanya, budaya seperti ini akan menyebabkan dasar negara sentiasa tertakluk kepada perkiraan pilihan raya, sedangkan perancangan ekonomi, pendidikan, kesihatan, perumahan dan pembangunan infrastruktur memerlukan kesinambungan.
Dalam pada itu, Mashitah berkata, Kerajaan Madani masih mampu mempertahankan mandat sekiranya PRU diadakan selepas tamat penggal.
Katanya, tempoh lebih setahun dalam politik merupakan masa yang panjang dan banyak perkara masih boleh diperbaiki, khususnya berkaitan kos sara hidup, pendapatan rakyat, penyampaian perkhidmatan awam, komunikasi kerajaan dan prestasi para menteri.
“Keputusan pilihan raya turut bergantung pada apa yang berjaya dilakukan oleh kerajaan dalam tempoh yang berbaki. Sekiranya kerajaan dapat menunjukkan bahawa harga dan kos tertentu lebih terkawal, peluang pekerjaan bertambah, projek rakyat disiapkan, masalah perkhidmatan awam diselesaikan dan bantuan benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran, keyakinan rakyat masih boleh dipulihkan.
“Cabaran sebenar ialah apa yang boleh dilakukan sebelum PRU itu berlangsung. Mengadakan PRU lebih awal tidak akan secara automatik menyelesaikan masalah keyakinan rakyat. Malah, sekiranya isu kos sara hidup, komunikasi dan prestasi kerajaan belum diperbaiki, PRU awal boleh menjadi langkah yang berisiko,” katanya.
Sementara itu, Geostrategis Institut GeoSpatial dan Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan berkata, buat masa ini PRU awal memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) berdasarkan momentum kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, seterusnya di Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, katanya, bagi Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai kuasa untuk membubarkan Parlimen atau tidak, ini bukan masa terbaik kerana mereka mempunyai masalah dalaman yang begitu hebat, kehakisan keyakinan pengundi kepada parti mereka terjejas ketika ini mengambil kira sentimen PRN Sabah dan Johor.
“Dalam hal ini, masa terbaik bukan sekarang untuk PH membubarkan Parlimen sehingga mereka mempunyai keyakinan semula daripada pengundi.
“Bagaimanapun, sokongan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan amat padu, jadi tidak timbul dikatakan ancaman daripada parti-parti komponen. Jadi pentadbiran kerajaan berjalan seperti biasa walaupun peringkat negeri kelihatan ada kemelut di antara BN dan PH,” katanya. – UTUSAN










