Undi pos PRK Kinabatangan mula dibuka 

Undi pos PRK Kinabatangan mula dibuka 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proses pembukaan sampul undi pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan yang melibatkan pengundi daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau bermula pukul 2 petang tadi.

Proses berkenaan berlangsung di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinabatangan dengan disaksikan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ejen calon serta pemerhati pilihan raya.

Berdasarkan siaran langsung SPR di Facebook Akademi Pilihan Raya, sebanyak 251 sampul undi pos akan dibuka dalam proses berkenaan.

Sebelum ini, SPR memaklumkan sebanyak 446 kertas undi pos dikeluarkan kepada individu yang berhak untuk mengundi secara pos bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.

Parlimen Kinabatangan memiliki sebanyak 48,282 pengundi biasa yang layak mengundi pada hari ini, manakala DUN Lamag mempunyai 13,515 pengundi.

Selasa lalu, SPR memaklumkan sebanyak 93 peratus atau 176 anggota polis telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi kedua-dua PRK berkenaan yang berlangsung di Teratak lbu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan.

PRK Parlimen Kinabatangan me­nyaksikan persaingan tiga penjuru dengan Mohd. Naim Kurniawan Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).

Manakala bagi DUN Lamag, pertandingan adalah satu lawan satu antara Mohd. Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

PRK kali ini diadakan susulan kematian penyandang, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN) pada 5 Disember tahun lalu. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN