PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) mandahului persaingan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat ini.
Difahamkan calon BN, Mohd. Naim Kurniawan Moktar meraih 4,815 undi mengatasi pesaingnya, Datuk Saddi Abdul Rahman daripada Warisan (1,523) dan calon Bebas, Goldam Hamid (349).
PRK kali ini melibatkan seramai 48,722 pengundi berdaftar terdiri daripada 48,526 pengundi biasa selain 196 anggota polis dan pasangan yang telah menunaikan tanggungjawab mengundi lebih awal.
Setakat pukul 3 petang, peratusan keluar mengundi direkodkan sebanyak 50.37 peratus bagi Parlimen Kinabatangan manakala 55.16 peratus bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Kesemua pusat pengundian ditutup sepenuhnya pada pukul 5.30 petang tadi.
Sebelum ini, kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag disandang oleh Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang berkhidmat selama enam penggal berturut-turut.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Perikatan Nasional (PN) tidak meletakkan calon dalam PRK berkenaan sebagai tanda menghormati legasi Allahyarham Bung Moktar. – UTUSAN










