PETALING JAYA: Dua peti undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dari pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Inarad merupakan antara yang terawal tiba di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Sri Lamag pada pukul 3 petang tadi.
SK Inarad yang membabitkan dua saluran pengundian ditutup seawal 12 tengah hari tadi.
Sebelum itu, kedua-dua peti undi berkenaan dibawa oleh Ketua Tempat Mengundi (KTM) SK Inarad, Ronny @ Sior Bataim bersama pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan helikopter.
Sebaik helikopter tersebut mendarat di padang Majlis Daerah Kinabatangan, kedua-dua peti undi itu kemudiannya dibawa ke Dewan Sri Lamag dengan kawalan ketat pihak polis.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan persaingan tiga penjuru dengan Mohd. Naim Kurniawan Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).
Manakala bagi DUN Lamag, pertandingan adalah satu lawan satu antara Mohd. Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
PRK kali ini diadakan susulan kematian penyandang, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN) pada 5 Disember tahun lalu. – UTUSAN









