PETALING JAYA: Sebanyak 13 daripada keseluruhan 36 pusat pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan telah ditutup sepenuhnya secara berperingkat setakat 2 petang ini.
Pusat pengundian itu melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Inarad dan SK Sri Ganda di Litang yang ditutup pada pukul 12 tengah hari.
Ia diikuti enam lagi pusat pengundian iaitu SK Kuamut, SK Masaum, SK Sangau, SK Tundun Bohangin, SK Litang dan SK Ladang Tomanggong yang ditutup pada 1 tengah hari.
Manakala lima pusat pengundian melibatkan SK Keramuak, SK Sungai Lokan, Dewan Serbaguna Kampung Balat Kinabatangan, SK Bilit dan SK Abai ditutup pada pukul 2 petang.
Sementara itu, tiga daripada sembilan pusat pengundian bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag turut ditutup awal setakat 2 petang ini melibatkan SK Sangau (1 tengah hari) serta SK Sungai Lokan dan Dewan Serbaguna Kampung Balat, masing-masing 2 petang.
Penutupan awal itu melibatkan SK Sangau pada 1 tengah hari serta SK Sungai Lokan dan Dewan Serbaguna Kampung Balat pada 2 petang.
Penutupan kesemua pusat pengundian berkenaan disahkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Dr. Eddy Syaizul Rizam Abdullah.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan persaingan tiga penjuru dengan Mohd. Naim Kurniawan Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).
Bagi DUN Lamag pula, pertandingan adalah satu lawan satu antara Mohd. Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
PRK kali ini diadakan susulan kematian penyandang kerusi, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN) pada 5 Disember tahun lalu. – UTUSAN










