KUALA LUMPUR: Ujian saringan diagnostik tidak digunakan untuk menentukan kelayakan kanak-kanak berusia enam tahun memasuki Tahun Satu pada sesi persekolahan 2027.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mencadangkan supaya ujian saringan diagnostik khas itu ditiadakan selepas penelitian semula bagi mengelak diskriminasi dan kesan psikologi kepada kanak-kanak.
Katanya, cadangan asal ujian saringan diagnostik itu mempunyai rasional sebagai penilaian pada kemampuan kanak-kanak sama ada mereka boleh memasuki Tahun Satu atau sebaliknya.
“Tetapi difikirkan nanti jadi diskriminasi, maknanya ada anak-anak ini nak masuk darjah satu atau prasekolah tidak layak atau kurang cerdik, mungkin ada kesan psikologi.
“Jadi oleh itu (ujian saringan diagnostik khas) ditiadakan, cadangan menteri (dan) saya setuju ia dipermudahkan. Walau macam mana, kita harus pantau, tanggungjawab guru dan ibu bapa untuk pantau kelayakan anak-anak itu,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) yang tidak bersetuju sekiranya ujian saringan diagnostik khas diteruskan.
Fadhlina pada 21 Januari lalu dilaporkan berkata, hanya murid yang layak dan berjaya melepasi kriteria ditetapkan setelah menduduki ujian diagnostik itu akan dipilih untuk kemasukan berkenaan.
Justeru, beliau berkata, ibu bapa perlu mendaftar anak mereka terlebih dahulu untuk menduduki ujian saringan itu yang akan diumumkan pelaksanaannya nanti.
Fadhlina bagaimanapun menjelaskan bahawa pelaksanaan kemasukan anak ke Tahun Satu pada usia enam tahun, bukan diwajibkan kepada semua ibu bapa.
Dalam pada itu, Anwar berkata, ujian matrik untuk Tahun Empat yang diperkenal kerajaan sebelum ini adalah bagi membolehkan ada penilaian dan memberi ruang sebanyak dua tahun untuk memperbaiki kemampuan anak-anak sebelum ke Tingkatan Satu.
“Tetapi biasalah dalam apa juga cadangan, ia memang mengundang sedikit kontroversi. Kalau ambik periksa Tahun Tiga pun salah, tidak buat langsung pun salah. Jadi kita putuskan buat (ujian) pada Tahun Empat dan kemudian kita lihat keberkesanannya.
“Pendidikan harus dinamik, saya setuju harus ada penilaian yang berterusan tetapi di peringkat awal, inilah cadangan,” katanya.
Tambahnya, beliau berharap masyarakat dan golongan ibu bapa memberi ruang kepada kerajaan untuk memastikan strategi terbaik dalam meningkatkan mutu pendidikan negara. – UTUSAN










