MELAKA: Empat individu termasuk tiga penguat kuasa sebuah jabatan kerajaan negeri direman enam hari sehingga Ahad ini kerana disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah berkaitan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).
Perintah reman terhadap kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman hari ini, selepas permohonan dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kesemua suspek tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 9.09 pagi dengan menaiki kenderaan SPRM.
Menurut sumber, dua daripada suspek dipercayai menerima wang suapan secara bulanan sekitar RM20,000 daripada beberapa majikan sekitar Melaka untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan menggaji PATI tanpa permit kerja yang sah.
Katanya, rasuah tersebut dipercayai dibuat secara tunai melalui serahan tangan dan juga transaksi ke akaun bank antara 2021 hingga 2025.
“Seorang lagi penguat kuasa ditahan kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah keseluruhan RM1,950 daripada seorang pengurus di salah sebuah restoran di Melaka sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap PATI yang diambil bekerja awal tahun lalu.
“Turut direman, seorang wanita berusia 37 tahun yang merupakan isteri kepada salah seorang penguat kuasa, disyaki bersubahat dalam kegiatan rasuah berkenaan, termasuk membantu mengurus serta menerima wang suapan daripada majikan-majikan terlibat,” katanya.
Kesemua suspek ditahan di Pejabat SPRM Melaka, Alai antara pukul 11.50 pagi hingga 4.50 petang semalam.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Beliau berkata, ia merupakan hasil kerjasama risikan dan operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – UTUSAN










