PETALING JAYA: Kira-kira 43.23 peratus atau 20,873 pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan telah menunaikan tanggungjawab masing-masing setakat 1 tengah hari tadi.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pula merekodkan peratusan keluar mengundi tertinggi iaitu sebanyak 44.50 peratus, diikuti DUN Sukau (44.32 peratus) dan DUN Kuamut (41.45 peratus).
Kesemua 36 pusat pengundian membabitkan 117 saluran dibuka pada 7.30 pagi tadi membolehkan 48,282 pengundi berdaftar melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu.
Pusat mengundi berkenaan akan ditutup secara berperingkat hingga 5.30 petang ini mengikut masa yang telah ditetapkan.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan persaingan tiga penjuru dengan Mohd. Naim Kurniawan Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).
Manakala bagi DUN Lamag, pertandingan adalah satu lawan satu antara Mohd. Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
PRK kali ini diadakan susulan kematian penyandang kerusi, Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN) pada 5 Disember tahun lalu. – UTUSAN










