PKPS pantau pembekal, bekalan ayam dijamin halal

PKPS pantau pembekal, bekalan ayam dijamin halal

MOHAMAD KHAIRIL MOHAMAD RAZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sentiasa menyemak dan memantau pembekal bagi memastikan aspek keterjaminan makanan termasuk keperluan halal, kebersihan dan kualiti produk makanan yang dipasarkan melalui rangkaiannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Dr. Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, bagi bekalan ayam di bawah pengurusan PKPS, pihaknya memberikan perhatian terhadap sumber bekalan, dokumentasi pembekal serta status pensijilan halal berdasarkan keperluan dan rekod pihak berkuasa berkaitan.

“Kami sentiasa menyemak dan memantau pembekal-pembekal kami.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi produk ayam di bawah seliaan PKPS, tidak perlu risau kerana ia halal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Beliau berkata, PKPS turut menyokong usaha pemantauan dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan aktiviti penyembelihan serta pengedaran ayam yang dibekalkan melalui rangkaiannya mematuhi peraturan dan keperluan ditetapkan.

Katanya, perkara itu termasuk aspek pensijilan halal dan hukum syarak.

“PKPS akan terus bekerjasama dengan pihak berkaitan dalam memantau sumber dan proses pengedaran bekalan ayam bagi program-program anjurannya bagi memastikan aspek halal, kebersihan dan kualiti sentiasa terpelihara,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai boleh membuat semakan status pensijilan halal bagi bekalan ayam di bawah pengurusan PKPS melalui Direktori Halal Malaysia yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Katanya, maklumat berkaitan status pensijilan halal adalah tertakluk kepada rekod dan skop pensijilan yang dipaparkan dalam direktori berkenaan.

“PKPS akan terus komited dalam menyokong usaha memperkukuh keterjaminan bekalan makanan serta memastikan pengurusan bekalan di bawah kendaliannya mengutamakan aspek halal, kebersihan dan kualiti demi menjamin keyakinan pengguna,” katanya.- UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini