PETALING JAYA: Inisiatif pengambilan seramai 20,000 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG9 secara Contract of Service (CoS) menerima sambutan amat menggalakkan.
Meskipun permohonan dibuka pada 2 Mac ini, namun ramai bertanyakan berkenaan permohonan untuk bergelar warga pendidik.
Bagi proses saringan dan temu duga, ia dijadualkan berlangsung dari 27 April hingga 14 Mei dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sambutan positif itu diterima sejurus inisiatif berkenaan diumumkan semalam.
“Sambutan yang sangat baik. Ramai yang berminat untuk memohon menjadi guru menerusi inisiatif pengambilan seperti yang diumumkan semalam.
“Tahun ini, tahun kita. Ayuh kita lakukan yang terbaik untuk pendidikan negara!,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, Fadhlina juga memuatnaik soalan lazim pengambilan tersebut menerusi akaun Facebook beliau.
Semalam, akhbar ini melaporkan seramai 20,000 orang guru baharu akan diambil Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memenuhi keperluan tenaga pengajar itu di sekolah seluruh negara.
Inisiatif pengambilan guru baharu itu merupakan sebahagian persiapan awal KPM bagi pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 serta bagi menghadapi kemasukan murid berumur enam tahun ke Tahun 1 secara sukarela bermula tahun hadapan. – UTUSAN










