TEBING BARAT: Tentera Israel menahan puluhan rakyat Palestin dalam serbuan di sekurang-kurangnya 15 bandar di utara Tebing Barat yang diduduki, beberapa jam selepas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengarahkan sekatan penuh di wilayah itu.
Serbuan itu susulan serangan di bandar Hebron yang mengorbankan dua anggota tentera Israel.
Wartawan Al Jazeera melaporkan semalam, operasi ketenteraan itu menyasarkan beberapa bandar dan pekan, termasuk Nablus, Jenin, Tubas dan Qalqilya.
Di Nablus, tentera Israel menahan penduduk serta menyerbu rumah rakyat Palestin di kampung Jalud dan Qaryut.
Penahanan turut dilaporkan di Arrabeh dan Burqin, berhampiran Jenin, manakala tentera Israel memasuki Tubas serta pekan berhampiran, Aqqaba.
Di selatan Tebing Barat, jentolak Israel merobohkan sebuah bangunan tiga tingkat di Hebron, dengan keluarga Palestin diberi masa hanya lima minit untuk mengumpulkan barangan mereka.
Tentera Israel turut mengarahkan ratusan keluarga Palestin berpindah secara paksa dari kediaman mereka di kawasan Ein Deir Bahha dan sekitarnya, di Hebron.
Tentera Israel juga mengepung rumah seorang suspek dalam serangan tembakan yang mengorbankan dua anggota tentera Israel di Hebron, selain melancarkan serbuan di kawasan kejiranan al-Jalda di bandar itu.
Tentera Israel pada lewat Jumaat memaklumkan pasukannya memulakan operasi di Hebron yang dijangka berlangsung selama ‘beberapa hari’, selain operasi oleh pasukan lain di puluhan kawasan di seluruh Tebing Barat.
Susulan sekatan itu, hampir 1,000 pusat pemeriksaan dan pintu laluan di seluruh Tebing Barat ditutup, sekali gus menjejaskan kehidupan jutaan rakyat Palestin.











