ARAU: Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah mencadangkan agar tiga bekas wakil rakyat Pas yang tergugur keahlian diterima semula sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) meskipun berstatus Bebas.
Beliau berkata, mereka masih mempunyai mandat dan hak sebagai wakil rakyat untuk menjaga kebajikan penduduk di kawasan masing-masing.
Justeru katanya, pendekatan ‘menang-menang’ antara tiga ADUN berkenaan dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan dilihat boleh membantu dalam menyelesaikan kemelut tersebut.
Katanya, ia termasuk cadangan agar Pas Pusat mengambil peranan mengharmonikan antara kedua-dua pihak demi memastikan situasi politik negeri kembali stabil.
“Kerajaan negeri berharap satu penyelesaian terbaik dapat dicapai bagi memastikan kestabilan politik dan kebajikan rakyat terus terpelihara. Jadi, saya mencadangkan supaya tiga ADUN ini diterima semula sebagai ADUN walaupun berstatus ADUN Bebas kerana mereka masih mempunyai mandat dan hak sebagai wakil rakyat untuk menjaga kebajikan penduduk di kawasan masing-masing.
“Saya melihat pendekatan ‘menang-menang’ ini boleh dibawa bersama dan sekiranya perkara ini dapat diselesaikan, Speaker akan membuat keputusan terbaik manakala ketiga-tiga ADUN ini pula akan menarik balik saman terhadap Speaker.
“Malah, satu pertemuan boleh diadakan antara Speaker DUN Perlis dan tiga ADUN Pas ini bagi mencari penyelesaian terbaik secara harmoni dan jika itu berlaku, isu ini dapat diselesaikan secara ‘adik-beradik’,” katanya ditemui selepas bersama Presiden Parti Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengunjungi Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin di sini semalam.
Baru-baru ini, tiga bekas ADUN Pas yang digugurkan keahlian parti dan dikosongkan kerusi DUN menfailkan saman pemula ke atas Rus’sele.
Saman pemula itu dikemukakan oleh Mohd. Ridzuan Hashim (Guar Sanji); Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping) di Mahkamah Tinggi, Kangar.
Pada 25 Disember lalu, Rus’sele mengumumkan kekosongan luar jangka di kerusi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji selepas ADUN terlibat terhenti keahlian Pas, susulan tindakan mereka bersama lima ADUN Bersatu dikatakan menarik sokongan terhadap Mohd. Shukri Ramli selaku Menteri Besar ketika itu.
Abu Bakar yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri berkata, keadaan semasa masih tergantung menyebabkan rakyat di tiga DUN itu berdepan ketidakpastian daripada saluran bantuan dan urusan kebajikan.
“Sekiranya cadangan penyelesaian itu tidak dapat dilaksanakan, saya akan menubuhkan Pusat Khidmat Menteri Besar di tiga DUN berkenaan termasuk Indera Kayangan, menjadikan keseluruhan empat pusat khidmat. Penubuhan pusat khidmat bertujuan membantu rakyat dari segi penyaluran bantuan dan urusan kebajikan,” katanya. – UTUSAN










