ARAU: Pas Perlis akur dengan langkah memutuskan hubungan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) namun menegaskan kepentingan mengekalkan kestabilan kerajaan negeri perlu diambil kira sebagai mana titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Ketua Penerangan Pas negeri, Zahid Ibrahim berkata, pada masa ini, Pas Perlis masih berpegang kepada pendirian untuk memastikan kestabilan pentadbiran negeri.
Katanya, Tuanku Syed Sirajuddin sebelum ini telah mengingatkan supaya kerajaan negeri diteruskan tanpa sebarang spekulasi atau sesuatu keputusan yang boleh merugikan rakyat.
Beliau secara peribadi juga melihat titah Raja Perlis itu sebagai gesaan supaya tidak berlaku usaha menjatuhkan kerajaan menerusi undi tidak percaya sehingga tamat penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun hadapan.
“Apa sekali pun, sebagai sebuah organisasi, kita berpijak di bumi yang nyata. Apa-apa pun setakat ini, Pas Perlis akur dengan keputusan Pas Pusat, tidak ada bantahan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perlis ketika ini tidak terjejas disebalik Pas menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah dilaporkan berkata, beliau akan meneruskan tugas seperti biasa sebagai mana titah Tuanku Syed Sirajuddin yang mahu pentadbiran kerajaan negeri kekal sehingga habis penggal.
Kata Abu Bakar, Bersatu dan Pas juga bertanding atas tiket PN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukan atas nama kedua parti itu.
Dalam perasmian sidang DUN pada 3 Jun lalu, Tuanku Syed Sirajuddin telah mengingatkan supaya tidak berlaku kacau-ganggu dengan memberi ruang kepada Abu Bakar memimpin kerajaan negeri sehingga akhir penggal.
Baginda bertitah, setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu meletakkan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi.
Sementara itu, Zahid berkata, setakat ini, pentadbiran kerajaan negeri kekal seperti biasa.
“Tapi sekiranya Menteri Besar mahu menghadap untuk sembah maklum cadangan pembubaran DUN, terpulang kepada Raja Perlis sama ada mahu terima atau tidak
“Sebab pembubaran bakal membawa kepada pilihan raya. Tetapi kalau ada undi tidak percaya, ia akan menimbulkan krisis lain pula,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi PN negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pentadbiran kerajaan PN Perlis diteruskan seperti biasa sehingga PN pusat menentukan keputusan.
“Keutamaan kita adalah kebajikan rakyat disebalik apa jua kemelut politik yang berlaku,” kata Ahli Parlimen Arau itu.
Timbalan Pengerusi Bersatu negeri, Izizam Ibrahim pula menyerahkan kepada Bersatu pusat dan akur dengan setiap arahan parti.
“Saya akan meneruskan tugas seperti biasa sebagai Exco kerajaan negeri selagi tidak ada sebarang kata putus,” katanya. – UTUSAN










