KULAI: Kenderaan bernombor pendaftaran Singapura yang menutup sebahagian nombor plat untuk mengisi petrol RON95 sehingga tular di media sosial kelmarin masih gagal dikesan pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, hal itu susulan tiada sebarang rekod pendaftaran kenderaan tersebut di peringkat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negara ini.
“Memandangkan kenderaan itu bernombor pendaftaran Singapura, JPJ tidak mempunyai rekod pemilik kenderaan. Sehubungan itu usaha mengesan individu terlibat masih dilakukan.
“Jika orang awam mempunyai sebarang maklumat tentang pemilik kenderaan berkenaan, boleh hubungi pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Semalam, Seng Lee dilaporkan memberitahu pihaknya akan mengambil tindakan saman keatas pemilik kenderaan itu jika berjaya dikesan kerana siasatan awal mendapati nombor plat kenderaan terbabit menyalahi peraturan yang ditetapkan.
Terdahulu tular satu rakaman vide memaparkan dua individu yang mengisi minyak RON95 ke dalam sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Singapura dengan sebahagian nombor plat nya ditutup pelekat berwarna hitam. – UTUSAN










