BUDI95 150 liter tamban beban, kos sara hidup rakyat

BUDI95 150 liter tamban beban, kos sara hidup rakyat

BUDI95 150 liter
Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Rakyat berdepan bebanan dan tekanan kos sara hidup yang lebih tinggi sekiranya had kuota subsidi petrol RON95 terus dikurangkan dari 200 liter kepada 150 liter sebulan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh dalam kenyataannya berkata, bahan api itu sepatutnya bukanlah sesuatu yang mewah untuk dimiliki, sebaliknya keperluan bagi rakyat bekerja dan meneruskan kehidupan seharian.

“Kerajaan tidak boleh menilai penggunaan petrol rakyat hanya berdasarkan angka statistik semata-mata tanpa memahami realiti kehidupan sebenar rakyat Malaysia hari ini.

“Hakikatnya, semakin ramai rakyat terpaksa tinggal jauh dari tempat kerja kerana harga rumah dan kadar sewa di kawasan bandar semakin tinggi dan tidak mampu ditanggung.

“Ramai keluarga muda akhirnya memilih untuk tinggal di kawasan pinggir bandar atau luar bandar demi berjimat bagi membayar komitmen kehidupan seperti ansuran rumah atau sewa bulanan, kos penjagaan dan pendidikan anak, serta dan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.

Tegasnya, kerajaan perlu lebih sensitif dan memahami keperluan rakyat hari ini semakin meningkat, bukannya semakin berkurang.

“Apa yang rakyat perlukan sekarang ialah dasar yang memahami realiti kehidupan mereka, bantuan yang benar-benar bersasar dan penyelesaian jangka panjang terhadap isu kos sara hidup serta kemampuan memiliki rumah berhampiran tempat kerja.

“Rakyat tidak boleh terus diminta menyesuaikan kehidupan mereka setiap kali berlaku perubahan dasar subsidi tanpa mengambil kira tekanan sebenar yang mereka hadapi di lapangan,” jelasnya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, penurunan kuota penggunaan bahan api di bawah program Budi Madani (BUDI95) kepada 150 liter sekiranya dilaksanakan akan membangkitkan kemarahan rakyat terutama golo­ngan yang mempunyai tanggungan tinggi dan berpendapatan rendah.

Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pengurangan kuota tidak boleh dilakukan kepada semua sebaliknya perlu mengambil kira keadaan pengguna termasuk jumlah pendapatan dan tanggungan bulanan.

Semalam, kuota BU­DI95 dilapor berpotensi dikurangkan kepada 150 liter sejajar usaha kerajaan untuk memastikan keterjaminan bekalan bahan api domestik dalam berdepan krisis bekalan global susulan konflik Asia Barat.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, walaupun tiada garis masa ditetapkan bagi pelaksanaan pengurangan, langkah itu boleh dipertimbangkan kerana BUDI95 mempunyai keupayaan menyediakan data penggunaan secara terperinci.

Malah, Nurul Syazwani menambah, jika langkah itu terus dilaksanakan, ia akan memberi kesan kepada rakyat yang mempunyai akses pengangkutan awam terhad dan tinggal jauh dari kawasan bandar.

“Bukan semua rakyat mempunyai akses kepada pengangkutan awam yang efisien. Terutama yang duduk di kawasan pinggir bandar sebagai contoh di Kuala Selangor dan utara Selangor.

“Ramai pekerja kilang, pekerja syif, penjawat awam, peniaga kecil, penghantar makanan, pekerja gig, pesawah dan petani masih bergantung sepenuhnya kepada kenderaan persendirian.

“Ada juga rakyat yang terpaksa menghantar anak ke sekolah yang jauh, menjaga ibu bapa warga emas atau ahli keluarga sakit, melakukan dua pekerjaan demi menampung kehidupan serta tinggal di kawasan yang mempunyai sistem pengangkutan awam yang terhad,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN