Kekuatan Kerajaan Madani dibentuk atas kebersamaan - Anwar

Kekuatan Kerajaan Madani dibentuk atas kebersamaan – Anwar

ANWAR Ibrahim tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ankara Esenboga bagi memulakan lawatan kerja rasmi di Republik Turkiye. -PEJABAT PERDANA MENTERI/IZZUDDIN ABD RADZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan Madani yang kukuh dibangunkan berasaskan semangat kebersamaan dan kerjasama antara parti tanpa sebarang sikap mendabik dada.

Memetik laporan Bernama, Anwar turut menegaskan kekuatan kerajaan terletak pada kesepakatan semua komponen dalam kerajaan yang sentiasa berganding bahu dan bergerak seiring bagi melaksanakan agenda pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat.

“Perlu laksanakan program dengan lebih baik dan tingkatkan usaha lebih bersungguh-sungguh seperti membantu anak-anak dalam aspek teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) serta bidang baharu menerusi teras akidah dan akhlak baik.

“Bayangkan setahun atau dua tahun lagi, Malaysia akan berubah wajahnya,” katanya berucap pada Majlis Sentuhan Kasih Madani Bersama Diaspora Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal. Kira-kira 200 rakyat Malaysia termasuk golongan profesional dan pelajar yang menetap di Ankara turut hadir ke majlis berkenaan.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboga di sini pada 7.13 malam waktu tempatan (12.13 tengah malam Rabu waktu Malaysia).

Beliau berada di Turkiye bagi lawatan rasmi selama tiga hari hingga esok atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Anwar berkata, sejarah menunjukkan kebangkitan dan kejatuhan sesebuah negara, tamadun dan masyarakat sebahagian besarnya berdasarkan kekuatan nilai, keyakinan dan komitmen kolektif mereka terhadap pembinaan negara.

“Negara bangkit dan jatuh. Bangsa bangkit dan jatuh. Tamadun bangkit dan jatuh, ia bangkit terutamanya kerana komitmen, keyakinan, idealisme dan semangat untuk membina sebuah negara dan memastikan kejayaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kemerosotan sesebuah negara lazimnya bermula apabila rasuah dibiarkan berakar umbi dan kemiskinan diabaikan, sekali gus menghakis nilai moral dan perpaduan sosial.

Merujuk kepada ajaran Islam, Anwar berkata manusia diberikan pilihan yang jelas, iaitu berusaha untuk mencapai kecemerlangan atau membiarkan keruntuhan moral berlaku.

“Komitmen kita mesti berpaksikan dengan teguh kepada pilihan tersebut, dan pilihan itu ialah untuk menjadi baik, yang terbaik untuk diri kita, keluarga serta masyarakat,” katanya.

Pada Rabu, Perdana Menteri antara lain dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Erdogan dan mempengerusikan bersama Mesyuarat Pertama Majlis Strategik Peringkat Tinggi (HLSC) Malaysia-Turkiye.

Anwar juga akan menyampaikan syarahan umum di Ankara dan melawat Istanbul, dengan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama ekonomi melalui sesi meja bulat bersama syarikat-syarikat Turkiye, serta sesi interaksi media bagi menggariskan hala tuju hubungan Malaysia-Turkiye.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan jumlah perdagangan Malaysia dengan Turkiye dari Januari hingga November 2025 mencecah RM21.2 bilion (AS$4.92 bilion) dan republik itu terus menjadi rakan ekonomi penting bagi Malaysia.

“Pada 2024, Turkiye adalah rakan perdagangan ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar serta sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara Asia Barat, dengan jumlah perdagangan bernilai RM24.15 bilion (AS$5.28 bilion),” menurut kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN