KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengeluarkan perintah menyita aset mudah alih milik Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos selepas beliau gagal membayar baki kos penghakiman sebanyak RM66,061.85 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Pada 26 Julai 2022, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd. Arief Emran Arifin (kini Hakim Mahkamah Tinggi) telah memerintahkan Jamal membayar ganti rugi RM300,000 merangkumi ganti rugi am, teruk dan teladan dan kos RM50,000 beserta faedah kerana memfitnah Teresa berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).
Secara keseluruhan, Jamal perlu membayar sebanyak RM370,217.36 merangkumi jumlah penghakiman, faedah, kos dan fi alokatur, namun sehingga hari ini beliau hanya membayar RM304,155.51.
Pelaksanaan writ penyitaan dan penjualan dijalankan oleh bailif mahkamah bagi mendapatkan kembali jumlah penghakiman tertunggak bersama-sama fi alokatur RM2,000 iaitu kos yang telah diperintahkan tetapi masih belum dibayar.
“Selaras perintah mahkamah, bailif diberi kuasa untuk melakukan kemasukan secara paksa dengan menggunakan kekerasan yang munasabah, tertakluk sepenuhnya kepada peruntukan undang-undang, sekiranya akses ke premis dinafikan.
“Pelaksanaan tersebut akan dipantau oleh peguam G. Maniggandan bagi memastikan pematuhan terhadap perintah mahkamah serta tatacara undang-undang yang sewajarnya.
“Tindakan penguatkuasaan ini merupakan pelaksanaan yang sah bagi suatu penghakiman yang masih berkuat kuasa di bawah kuasa kehakiman,” kata peguam Datuk Sankara Nair yang mewakili Teresa dalam kenyataan hari ini.
Dua tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Jamal terhadap keputusan mahkamah yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM300,000 kepada Teresa berhubung fitnah tersebut.
Pada 26 Julai 2022, Mohd. Arief Emran membenarkan tuntutan saman fitnah Teresa selepas mahkamah berpuas hati bahawa Jamal yang dinamakan selaku defendan gagal membuktikan pembelaannya.
Mohd Arief Emran turut memerintahkan Jamal membayar ganti keseluruhan termasuk ganti rugi am, teruk dan teladan dalam tempoh 14 hari, kos RM50,000 dan mengeluarkan perintah injunksi melarangnya daripada mengulangi kenyataan serupa.
Bekas Naib Presiden DAP itu memfailkan saman terhadap Jamal pada 6 April 2017 dengan mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berkaitan dana YAWAS dalam sidang akhbar pada 8 Mac 2017.
Dalam pernyataan tuntutannya, Teresa mendakwa kenyataan berkenaan disiarkan di media cetak dan elektronik termasuk dalam laman sosial Facebook Jamal.
Menurut Teresa, kenyataan fitnah itu antara lain memberikan gambaran bahawa beliau menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kegunaan sendiri dan merupakan seorang yang tidak beretika.
Teresa menuntut ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau mana-mana ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah berkenaan. – UTUSAN










