Bekas pembantu Teresa Kok didakwa menipu, terima rasuah

Bekas pembantu Teresa Kok didakwa menipu, terima rasuah

EDMUND Teoh Kheng Yaik hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bagi didakwa atas pertuduhan menipun dan menerima rasuah sebanyak RM500,000.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas pembantu Teresa Kok didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menipu Ahli Parlimen Seputeh itu dan menerima rasuah sebanyak RM500,000, dua tahun lalu.

Tertuduh, Edmund Teoh Kheng Yaik, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim, Suzana Hussin.

Mengikut pendakwaan, dia dituduh memperdaya Teresa untuk mempercayai hanya dua buah sekolah sahaja di kawasan parlimen itu yang memohon sumbangan papan pintar interaktif menerusi My-Khas di bawah Projek Mesra Rakyat sedangkan terdapat 16 buah sekolah yang memohon sumbangan tersebut.

Perkara itu didakwa dilakukan di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Seputeh, Jalan Kuchai Lama, di sini pada Jun 2024.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Kheng Yaik didakwa menerima rasuah wang tunai RM500,000 daripada Ainuddin Aminuddin sebagai upah membantu mendapatkan sumbangan pembekalan papan pintar interaktif dan bekalan berkaitan untuk 16 buah sekolah itu menerusi TMT IT Solutions milik isteri Ainuddin.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan tempat letak kereta sebuah stesen minyak di Kuchai Lama pada 12 Ogos 2024.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah suapan atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaluddin, tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin namun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara mahkamah, pendakwaan mencadangkan jaminan RM150,000 dengan seorang penjamin.

Pihak pendakwaan turut meminta syarat tambahan dikenakan termasuk penyerahan pasport, lapor diri di pejabat SPRM terdekat satu bulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, Kheng Yaik yang diwakili peguam, MN Lo memohon agar jumlah ikat jamin yang rendah diberikan atas alasan anak guamnya mempunyai anak kecil yang masih bersekolah serta pendapatan bulanan sekitar RM3,000 ke RM4,000.

Hakim kemudian menetapkan jamin RM60,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh diperintah menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Tertuduh juga diperintah untuk lapor diri di pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan secara sendiri atau melalui pihak ketiga sehingga kes selesai. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 3 Julai ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN