MELAKA: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh tidak terheret dengan sebarang tekanan mana-mana pihak dalam menentukan hala tuju politiknya.
Katanya, sebarang langkah berkaitan kedudukannya tidak dibuat secara tergesa-gesa tanpa persetujuan dan rundingan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
“Kalau saya sudah berbincang dengan Pemuda, dengan Ketua Menteri dan dengan Presiden, dan itu yang terbaik, maka insya-Allah itulah yang akan kita lakukan.
“Saya percaya setiap keputusan mesti dibuat secara berhemah dan tidak tergesa-gesa demi kepentingan parti serta kestabilan perjuangan,” katanya kepada pemberita selepas prosiding mediasi kes saman fitnah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di Mahkamah Ayer Keroh, semalam.
Dr. Muhamad Akmal turut menghormati peranan Ketua Menteri Melaka dalam menentukan pelantikan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan mengakui peranan Presiden UMNO memberi kepercayaan kepadanya mewakili parti pada pilihan raya lalu.
“Justeru, dua pimpinan ini perlu saya dapatkan persetujuan dan pandangan sebelum saya mengumumkan apa-apa keputusan pada Perhimpunan Agung UMNO nanti,” katanya.
Sebelum ini, beliau memaklumkan status berhubung kedudukannya dalam parti dan kerajaan akan diumumkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 (PAU 2025) minggu ini.
Dalam pada itu, Dr. Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, beliau tidak pernah memulakan sebarang serangan terhadap mana-mana pihak, sebaliknya hanya mempertahankan pendirian serta suara akar umbi.
Katanya, beberapa isu yang mencetuskan polemik sebelum ini termasuk isu stoking dan logo halal dibangkitkan oleh pihak lain dan bukan dimulakan dirinya. – UTUSAN










