PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam proses menyediakan syor awal Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya di Sarawak sebelum memasuki fasa seterusnya seperti yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah itu susulan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 7 Julai lalu.
Katanya, kelulusan RUU itu menambah 17 kerusi baharu, sekali gus menjadikan keseluruhannya 99 kerusi DUN.
“Dengan pertambahan kerusi ini, SPR akan melaksanakan Urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Sarawak Kali Ke-7 mengikut Perkara 113(2) Perlembagaan Persekutuan.
“SPR diperuntukkan tempoh sehingga dua tahun untuk menyiapkan kajian tersebut, bermula daripada tarikh tersiarnya notis sebagaimana dinyatakan dalam Seksyen 4, Jadual Ke-13 sehingga laporan akhir dikemukakan kepada Perdana Menteri seperti termaktub dalam Perkara 113(9) dan (10),” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen.
Beliau menjawab soalan Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubok Antu) mengenai status terkini serta garis masa pelaksanaan kajian semula persempadanan pilihan raya di Sarawak.
Azalina berkata, SPR dikehendaki menjalankan kajian semula persempadanan pada sela masa tidak kurang daripada lapan tahun selepas selesainya urusan terakhir.
“Dalam konteks Sarawak, sela masa bagi urusan Kajian Semula Persempadanan terdahulu berakhir pada 21 Ogos 2023,” katanya. – UTUSAN










