ARAU: Banjir besar melanda utara yang menenggelamkan sebahagian besar sawah padi di dua negeri pengeluar utama iaitu Perlis dan Kedah menimbulkan kebimbangan terhadap keterjaminan makanan negara.
Kebanyakan tanaman padi yang terjejas berusia lebih kurang sebulan menjadikan penanaman semula hampir mustahil jika banjir berulang. Lebih membimbangkan ramai dalam kalangan pesawah yang terjejas berhasrat tidak meneruskan tanaman musim ini.
Di Perlis, banjir telah menenggelamkan seluas 14,785.56 hektar sawah di negeri ini dengan anggaran kerugian mencecah RM41 juta membabitkan 9,286 orang pesawah.
Pensyarah Kanan (Keusahawanan) Jabatan Perniagaan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi (FPK) Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Dr. Atikah Nor Johari berkata, dengan purata hasil padi negara pada 4.45 tan per hektar, potensi kehilangan hasil di Perlis sahaja boleh mencecah lebih 10,000 tan metrik beras selepas pengilangan.
Katanya, walaupun Malaysia mempunyai stok beras strategik sekitar 1.1 juta tan metrik namun gangguan terhadap pengeluaran domestik boleh menjejaskan bekalan jangka pendek dan meningkatkan kebergantungan kepada import.
Ujar beliau, sekiranya banjir berulang atau semakin buruk, bekalan domestik boleh terganggu dan harga beras berpotensi meningkat, khususnya di kawasan terjejas.
“Seterusnya, ia bakal melibatkan gangguan rantaian bekalan. Banjir menjejaskan rantaian bekalan tempatan, termasuk pengangkutan hasil padi dan operasi kilang pengilangan.
“Gangguan logistik menyebabkan kelewatan pengedaran beras ke pasaran yang boleh menambah tekanan terhadap bekalan dan harga di peringkat pengguna.
“Selain itu, ia turut memberi impak kepada sosiol ekonomi pesawah. Kehilangan hasil tanaman awal mengurangkan pendapatan, meningkatkan risiko kemiskinan dan memberi tekanan kepada keluarga petani jika skim insurans tanaman dan bantuan tunai tidak disalurkan dengan cepat dan mencukupi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, banjir sekali lagi menekankan kerentanan sektor padi negara terhadap cuaca ekstrem dengan kerajaan perlu mengambil langkah segera dan bersepadu bagi memastikan pengeluaran padi dapat dipulihkan, sekali gus menjamin bekalan makanan negara.
“Walaupun negara menyimpan stok fizikal sekitar 1.1 juta tan metrik beras, banjir besar di kawasan jelapang utama boleh memberi tekanan terhadap bekalan domestik terutamanya di wilayah utara.
“Kejadian banjir yang berulang juga boleh meningkatkan risiko kenaikan harga beras, menggugat akses makanan bagi isi rumah berpendapatan rendah. Kerajaan perlu memandang serius impak banjir besar yang menenggelamkan sehingga 75 peratus kawasan sawah di Perlis dan menjejaskan ribuan hektar tanaman padi yang masih pada peringkat awal pertumbuhan.
“Situasi ini turut memberi tekanan kepada keterjaminan makanan negara, khususnya bagi zon utara yang merupakan salah satu kawasan jelapang utama Malaysia,” katanya.
Atikah Nor berkata, bagi memastikan jaminan bekalan dan kestabilan harga beras bukan bersifat sementara tetapi mampan dan berkesan, kerajaan perlu memantau dan meningkatkan sokongan kepada padi tempatan.
Kata beliau, antaranya dengan mengekalkan program subsidi, sokongan input dan pengeluaran padi domestik sambil memperbaiki sistem pengairan, saliran dan mitigasi bencana bagi memastikan hasil tidak mudah musnah.
“Selain itu, kerajaan perlu melaksanakan pemantauan ‘real-time’ terhadap bekalan beras tempatan dan import, pengedaran dari kilang ke pemborong ke peruncit serta memperkukuh penguatkuasaan untuk memastikan subsidi dan kawalan harga sampai kepada pengguna akhir tanpa disalahgunakan.
“Kerajaan juga perlu mengekalkan stok beras strategik dan import sebagai sandaran ketika krisis sambil melaksanakan pelan campuran untuk memastikan bekalan dan harga tetap stabil jika padi tempatan terjejas,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman berkata, pesawah dijangka hilang pendapatan sekitar RM80 juta jika mereka tidak mengusahakan semula tanaman ekoran banjir besar tersebut.
“Jika pesawah tidak tanam semula selepas ini akan menyebabkan 40,000 tan metrik hasil terjejas sekali gus memberi sedikit kesan kepada bekalan beras negara tersebut. Di Kedah, kita masih belum pasti jumlah keseluruhan yang terjejas.
“Jika pesawah mengusahakan semula tanaman, kerajaan mungkin boleh memberi bantuan daripada segi bekalan benih dan sebagainya bagi meringankan beban mereka.
“Kebanyakan pesawah baru sebulan mengusahakan tanaman bagi musim kali ini. Namun, banjir besar memusnahkan sebahagian besar tanaman,” katanya.
Marzukhi berkata, banjir tersebut turut menenggelamkan lebih 50 hektar kawasan sawah diusahakan di Perlis dan Kedah dengan anggaran kerugian mencecah RM100,000.
“Jika banjir kembali pulih, para pesawah mungkin boleh mengusahakan semula tanaman selepas tempoh dua minggu akan datang,” katanya. – UTUSAN










