Penduduk Kg. Sg. Baru terima rumah empat tahun lagi

Penduduk Kg. Sg. Baru terima rumah empat tahun lagi

PENDUDUK teruja melihat replika projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru selepas majlis pecah tanah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas le­bih sembilan tahun menanti dengan penuh kesabaran dan menempuh pelbagai cabaran, akhirnya lebih 200 penduduk Kampung Sungai Baru di sini, lega apabila bakal memiliki kediaman sendiri dalam tempoh empat tahun lagi.

Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru yang di­sempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa semalam menjadi titik tolak bermulanya fasa baharu dalam penantian mereka.

Sebelum ini, penduduk di kawasan itu terlalu lama dibelenggu dengan isu pengambilan tanah dan pembangunan semula kawasan itu sehingga memaksa campur tangan kerajaan untuk menyelesaikan masalah secara menyeluruh dan mengikut lunas undang-undang.

Ia termasuk membatal dan membincangkan semula Pewartaan Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 yang berkaitan dengan projek pembangunan semula Kawasan Sungai Baru.

“Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di bawah KL City Gateway Sdn. Bhd. akan siap empat tahun lagi.

“Pihak kami akan memantau pembangunan projek tersebut supaya dapat disiapkan dalam tempoh masa yang dijanjikan oleh pihak pemaju,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah projek tersebut semalam.

Menurut Zaliha, dalam tempoh dua bulan ke depan cabutan unit akan dibuka kepada penduduk yang layak.

Katanya, ini adalah cabutan secara adil, jadi mereka tidak boleh memilih dan unit yang diberikan itu bergantung kepada undian nanti.

“Saya jangka pembangunan ini juga akan menjadi pemangkin kepada kampung bukan sahaja Kampung Sungai Baru bahkan juga Kampung Baru secara keseluruhannya,” katanya.

Zaliha berkata, unit baharu yang disediakan nanti lebih selesa berbanding dahulu di mana keluasan rumah itu adalah 900 kaki persegi ke atas sehingga 1,200 kaki persegi ke atas yang meliputi tiga bilik dan tiga bilik air.

“Di samping itu, pemaju telah bersetuju untuk insentif dalam beberapa hal iaitu untuk kos penyelenggaraan bagi tahun pertama diberi percuma. Kemudian bagi tahun kedua sehingga 10 tahun ke depan ialah 70 peratus,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pemaju turut bersetuju untuk memberikan beberapa peralatan seperti pendingin hawa dan perabot di dalam setiap unit yang berjumlah sehingga RM2 juta.

“Kediaman ini juga akan mempunyai akses jalan ke lebuh raya AKLEH yang juga dibiayai oleh pemaju berjumlah RM15 juta.

“Jadi ini adalah di antara perkara-perkara yang merupakan tambahan dan saya kira adalah hadiah kepada penduduk yang telah begitu lama menantikan saat ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru, Sanita Yunus berkata, majlis pecah tanah yang dijalankan itu merupakan langkah pertama menuju perjalanan lebih selesa, selamat dan terjamin.

Katanya yang mewakili pemilik hartanah Kampung Sungai Baru, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu merealisasikan impian mereka untuk memiliki rumah lebih selamat dan kondusif.

“Komuniti Kampung Sungai Baru sangat rapat dan berakar pada tradisi Kampung Baru sejak sekian lama, pembaharuan dibawa tidak menjejaskan identitinya. Peranan persatuan jelas menjadi jambatan kepada penduduk, agensi dan pemaju agar keputusan dibuat benar-benar mencerminkan keperluan di lapangan.

“Pembangunan ini dapat menyelesaikan masalah harian dihadapi iaitu rumah uzur, ruang sempit dan kekurangan kemudahan.

“Rumah sedia ada tidak selari dengan pembangunan semasa dan keperluan hidup hari ini, sebab itu pembaharuan amat diperlukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×