PETALING JAYA: Hasrat Barisan Nasional (BN) untuk mengembalikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) disifatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebagai mimpi ngeri kepada pembayar cukai di negara ini.
Penasihat DAP, Lim Guan Eng berkata, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi gagal merujuk kelemahan terbesar pelaksanaan GST iaitu kegagalan membayar balik bayaran cukai itu yang sepatutnya dibayar.
Beliau mempersoalkan sama ada Timbalan Perdana Menteri boleh memastikan bahawa mimpi ngeri pembayar cukai akibat kegagalan bayaran balik GST berjumlah RM30 bilion sejak ia diperkenalkan pada 2015 hingga 2018 tidak berulang.
“GST merupakan cukai penggunaan yang cekap dan adil kepada semua kerana ia memerlukan bayaran balik cukai input bagi mengelakkan cukai berganda. Malangnya, Kerajaan BN pada ketika itu gagal membuat bayaran balik seperti yang diwajibkan oleh undang-undang.
“Sehinggakan jumlah tunggakan mencecah lebih RM30 bilion dalam tempoh hanya tiga tahun. Jumlah bayaran balik GST yang besar ini menjadi beban berat kepada perniagaan, bukan sahaja menjejaskan aliran tunai mereka malah mengancam kelangsungan operasi perniagaan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Kelmarin, Ahmad Zahid berkata, BN akan memperjuangkan pelaksanaan GST selepas PRU16 memandangkan ia merupakan sistem cukai terbaik dan wajib dikembalikan untuk dilaksanakan di negara ini.
Guan Eng berkata, bayaran balik GST berjumlah RM30 bilion itu hanya dipulangkan kepada pembayar cukai oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2019.
Dakwanya, di bawah pemerintahan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih kerajaan pada 2020, meraka pula tidak memulangkan lebihan cukai yang dibayar oleh perniagaan sehingga mencecah puluhan bilion ringgit.
“Sekali lagi, seperti lebihan cukai input di bawah GST, lebihan cukai yang dibayar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan dan digunakan serta dibelanjakan terlebih dahulu oleh,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, beliau tidak bersetuju dengan hasrat BN yang mahu kembalikan GST selepas sistem percukaian yang diperkenalkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu dimansuhkan pada 2018.
Menurutnya, majoriti rakyat masih dihimpit dan tertekan dengan kos sara hidup kerana memperoleh gaji yang rendah dan masih ramai tidak dapat keluar dari kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).
“Jika pendapatan rakyat kita sudah meningkat dengan Dasar Gaji Progresif (DGP) dan ramai yang sudah membentuk kelas menengah dengan gaji tinggi maka masa itu barulah sesuai sistem cukai Malaysia menggunakan GST tetapi tidak sekarang,” katanya kepada Utusan Malaysia. – UTUSAN










