TAWAU: Dakwaan kerajaan Gagasan Rakyat Sabah (GRS) paling gagal di dunia diibaratkan meludah ke langit terkena diri sendiri.
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, banyak isu air dan infrastruktur di Sabah gagal ditangani semasa Datuk Seri Bung Moktar Radin mengetuai portfolio kerja raya termasuk projek rawatan air yang tertangguh bertahun-tahun.
“Kalau itu kata beliau, saya jawab dengan fakta. Beliau pernah berkuasa. Apa projek signifikan yang berjaya diselesaikan ketika menjadi Menteri KKR? Dua tahun beliau di KKR adalah kerugian masa bagi rakyat Sabah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan pelancaran Jentera GRS Tanjung Batu di sini, malam tadi.
Sebaliknya, di bawah pentadbiran GRS, Armizan menegaskan projek-projek kritikal kini sedang berjalan atau sudah dimulakan termasuk Loji Rawatan Air Cinta Mata 2, Loji Rawatan Air Kogopon, serta projek Southern Link yang penting untuk kestabilan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah.
Armizan menambah, kritikan terhadap isu elektrik juga tidak wajar dilemparkan kepada GRS kerana bidang kuasa utama berada di peringkat Persekutuan, termasuk kawal selia dan syarikat pembekalan.
“Track record menunjukkan siapa yang gagal. GRS membuktikan kerja berjalan. Sebab itu saya kata, bila beliau sebut GRS kerajaan paling gagal, itu umpama meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa GRS mengamalkan pendekatan konstruktif dengan kerajaan Persekutuan, terutama dalam melaksanakan agenda pembangunan serta komitmen Agenda 2030 dan 27 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).










