Rafizi namakan Shamsul Iskandar sebagai individu ditegur Anwar - Utusan Malaysia

Rafizi namakan Shamsul Iskandar sebagai individu ditegur Anwar

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli mendakwa Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin merupakan individu yang menulis surat sokongan kepada enam kontraktor bagi projek pembinaan sebuah hospital tahun lalu.

Menerusi klip video dimuat naik di platform Facebook, Mohd. Rafizi berkata, insiden itu merupakan peluang terbaik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menunjukkan keazaman memerangi rasuah dan bukan sekadar menegur.

Dakwanya, ia bukanlah kali pertama kejadian sedemikian, justeru Shamsul Iskandar perlu dipecat.

“Sebab itu dalam kes Setiausaha Politik Kanan, Shamsul Iskandar ini, sepatutnya ia jadi peluang kepada Anwar tunjukkan komitmen beliau menentang rasuah.

“Jangan tegur keras, pecat sahaja. Ini bukan kali pertama, malah saya sendiri pernah membincangkan beberapa aduan seperti ini.

“Perdana Menteri kata dia akan semak, lepas semak dia sahkan yang saya sebut itu betul, tapi sehingga sekarang Setiausaha Politik Kanan itu masih kekal di situ,” katanya.

SHAMSUL ISKANDAR MOHD. AKIN

Sebelum ini, Anwar menegur tindakan setiausaha politiknya berhubung pemberian surat sokongan kontraktor terhadap projek hospital tahun lalu.

Perdana Menteri berkata, peraturan dan prinsip kerajaan sememangnya tidak membolehkan tindakan sedemikian dilakukan.

“(Berkenaan) sokongan setiausaha politik saya, saya telah memberi teguran yang keras kerana peraturan tidak membolehkan kita lakukan (surat sokongan).

“Kalau ada surat daripada saya, maksimum (arahan) ‘sila teliti’. Itu standard, tetapi tidak boleh membuat satu sokongan,” katanya di Dewan Rakyat, Selasa lalu.

Mohd. Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi berkata, laporan perlu dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan.

“Persoalannya, adakah terdapat sebarang habuan yang bertukar tangan?,” katanya.

Katanya, teguran keras semata-mata tidak memadai, sekiranya individu terlibat masih dikekalkan dalam jawatan kerana lama-kelamaan rakyat tidak lagi peduli akan ketegasan yang dilaungkan.

“Takut nanti orang kata, depan cakap lain, belakang buat lain,” katanya.

Menurutnya, isu itu telah tular sejak tahun lalu dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad turut mengesahkan kesahihan surat sokongan tersebut.

Mohd. Rafizi berkata, selepas teguran Perdana Menteri, rakyat berasakan tindakan yang diambil tidak mencerminkan kesungguhan.

Dalam pada itu, cubaan Utusan Malaysia untuk mendapatkan respons Shamsul Iskandar belum berhasil kerana bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu tidak mengangkat panggilan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN