KOTA BELUD: PKR Tempasuk mengambil keputusan mengejut apabila menyatakan sokongan penuh kepada calon Barisan Nasional (BN), Azuwan Marjan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Sokongan tersebut diumumkan meskipun wujud pakatan pilihan raya antara Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN kali ini.
Dalam satu kenyataan di media sosial, Ketua Penerangan PKR Tempasuk, Aziz Bilin mengesahkan keputusan tersebut dicapai dengan persetujuan sebulat suara semua ahli dalam Jawatankuasa Penyelarasan DUN Tempasuk.
Menurutnya, walaupun terdapat kerjasama rasmi PH–GRS di Sabah, PKR Tempasuk mengambil kira realiti hubungan strategik BN–PH di peringkat Persekutuan yang perlu diperkukuhkan.
“Kerjasama ini amat penting dan perlu dipertahankan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 nanti,” katanya.
Menerusi hantaran sama, kelihatan Penyelaras PKR Tempasuk, Arshad Abdul Rahman menyerahkan memorandum persefahaman (MoU) kepada Azuwan dalam satu majlis ringkas di sini.
Pertembungan tujuh penjuru di Tempasuk turut menyaksikan Azuwan berdepan calon GRS yang juga penyandang, Datuk Mohd Arsad Bistari; John Samud (Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia, KDM); Dr. Rimin Maun (Parti Kebangsaan Sabah, PKS); Timuti Majitol (Parti Impian Sabah, PIS); Mohd Khidir Lamsil (Warisan) dan Walter Mark Mukis (Parti Solidariti Tanah Airku, STAR Sabah).
Pada Pilihan Raya Negeri 2020, Mohd Arsad memenangi kerusi Tempasuk atas tiket BN dengan majoriti 1,685 undi selepas memperoleh 4,040 undi dalam pertandingan lima penjuru, sebelum menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) pada 2023. – UTUSAN










