PKR akan terus memperjuang rakyat Sabah

PKR akan terus memperjuang rakyat Sabah

NURUL IZZAH ANWAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima keputusan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dengan penuh hormat dan rendah diri, dan akan terus memperjuangkan kepentingan rakyat negeri itu.

Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, keputusan pilihan raya itu adalah isyarat jelas daripada pengundi, sekali gus menjadi panduan penting untuk parti melakukan penambahbaikan.

“Suara rakyat adalah peringatan dan pengajaran buat kami. Kami menerimanya dengan hati terbuka,” katanya dalam satu kenyataan bersama Pengarah Pilihan Raya Bersama, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera dan sukarelawan yang bekerja sepanjang tempoh kempen, termasuk mereka yang bertungkus-lumus memastikan gerak kerja parti berjalan lancar sehingga hari pengundian.

Menurutnya, keputusan PRN kali ini turut mencerminkan sentimen pengundi terhadap beberapa isu utama seperti tadbir urus, ketelusan dan kepimpinan setempat.

Katanya, mesej itu harus diterima sebagai peringatan bahawa perpecahan dalaman mampu menjejaskan keyakinan rakyat terhadap mana-mana parti politik.

“Kepimpinan parti akan mengambil tanggungjawab secara kolektif atas keputusan tersebut dan komited melakukan penambahbaikan bagi memastikan Keadilan kembali lebih kuat,” katanya.

Nurul Izzah turut mengucapkan tahniah kepada semua calon yang meraih kemenangan, termasuk satu-satunya kerusi yang dimenangi PKR.

Menurutnya, parti akan terus memperjuang nasib rakyat Sabah serta meneruskan khidmat kepada masyarakat di seluruh negara.

Media melaporkan bahawa prestasi Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Sabah ke-17 semalam dilihat mengecewakan apabila hanya seorang daripada 22 calonnya berjaya menang.

Kemenangan tunggal itu datang daripada calon PKR, yang merupakan bekas wakil rakyat payung terjun dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Selain satu kerusi yang dimenanginya, sembilan calon PKR lain tewas, sekali gus mengekalkan prestasi hambar parti itu dalam politik Sabah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN