Pelanggaran undang-undang oleh Israel dorong dalami ilmu perundangan

Pelanggaran undang-undang oleh Israel dorong dalami ilmu perundangan

Perundangan
ABDUL Qayyum Abdul Sharip bersama ijazah diterimanya pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-103 di Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Melihat sendiri ketidakpatuhan undang-undang oleh Israel sewaktu mengikuti misi Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan menjadi pendorong untuk seorang pegawai tentera untuk melanjutkan pengajian dalam perundangan.

“Sewaktu berkhidmat dalam UNIFIL sekitar tahun 2016 dan 2017, pada masa itu saya nampak banyak pelanggaran undang-undang daripada pihak Israel.

“Saya nampak mereka sering kali tidak mematuhi undang-undang antarabangsa membuatkan saya teringin untuk mendalami undang-undang,”kata Kapten Abdul Qayyum Abdul Sharip ketika pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-103.

Walaupun bermula agak lewat berbanding rakan-rakan pengajian yang lain, pengalaman berkhidmat dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak melunturkan semangat Abdul Qayyum.

“Saya lebihkan membaca dan banyak bertanya. Dari situ saya mula faham dan cuba kejar rakan-rakan lain. Jangan rasa usia sudah lanjut (sebagai penghalang), kalau kita nak, kita kejar. Ilmu itu boleh dituntut sampai bila-bila,” katanya.

Tambahnya, ijazah yang dimilikinya kini menjadi bukti bahawa tidak pernah wujud istilah ‘terlambat’ dalam menambah ilmu.

Sebelum ‘terjun’ ke dalam pengajian undang-undang, anak kelahiran Pahang ini sudah mempunyai Diploma Sains Komputer dari UiTM serta Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Komputer & Rangkaian) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Tidak menafikan bahawa cabaran sambung belajar sambil bekerja ditambah pula dengan tanggungjawab sebagai ketua keluarga bukanlah satu perkara mudah namun ia mampu dilakukan oleh sesiapa pun.

“Masa untuk keluarga memang terhad. Banyak masa saya kena diberikan kepada belajar dan ulangkaji. Bila bekerja, saya boleh balik dan bersama keluarga, tapi bila belajar (sambil bekerja), komitmennya lebih besar.

“(Tetapi) ketepikan semua masalah (dan) fokus pada apa yang kita nak capai. Belajarlah sejauh mana yang boleh,”ujar bapa kepada seorang anak perempuan.

Pencapaian Kapten Abdul Qayyum bukan sahaja mengharumkan nama keluarga dan pasukannya tetapi bukti seseorang itu boleh mencapau kejayaan cemerlang dalam akademik, di luar kepakaran sedia ada.

Daripada medan operasi antarabangsa di Lubnan, kini beliau melangkah ke pentas konvokesyen dengan segulung ijazah dengan membawa bersama kisah inspirasi bahawa setiap pengalaman hidup mampu menjadi ilham menuju masa depan yang lebih bermakna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN