KUALA LUMPUR: Kerajaan meningkatkan elaun sara hidup pelajar Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) daripada RM400 kepada RM800 sebulan bagi membantu pelajar khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) meneruskan pengajian tanpa beban kewangan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kenaikan kadar elaun itu menunjukkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh agenda pendidikan dan latihan kemahiran (TVET) bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang seimbang dari segi akademik dan ekonomi.
“Elaun sara hidup pelajar kini telah dinaikkan daripada RM400 kepada RM800 sebulan bagi setiap pelajar.
“Langkah ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap pelajar terutama daripada golongan B40,supaya mereka tidak terbeban untuk menampung kos kehidupan sepanjang tempoh latihan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib (PN–Maran) yang membangkitkan dakwaan kononnya PTPK beberapa kali menghentikan pembiayaan pinjaman dan elaun sara hidup sehingga menekan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, dakwaan berkenaan tidak berasas kerana tiada pelajar yang telah diluluskan pinjamannya diberhentikan pembiayaan.
“PTPK sendiri telah mengeluarkan kenyataan media pada 11 September lalu menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa semua pelajar yang layak masih menerima pembiayaan serta elaun seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata, sehingga Ogos 2025, PTPK telah meluluskan pinjaman berjumlah RM524 juta melibatkan 52,098 pelajar dan 306 pusat latihan di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, 21,947 pelajar menerima kelulusan pinjaman pada 2025 dan semua mereka masih menikmati pembiayaan serta elaun sara hidup seperti biasa,” katanya.
Abdul Rahman, pengagihan peruntukan PTPK kini dilaksanakan berdasarkan keutamaan dan prestasi bagi memastikan keberkesanan dan kelangsungan dana antaranya, program latihan berimpak tinggi dan selaras dengan keperluan industri dan rekod bayaran balik pinjaman.
“Selain itu, pematuhan terhadap syarat permohonan serta rayuan dan kadar penempatan pekerjaan selepas tamat latihan.
“Pendekatan baharu ini berasaskan performance-based budgeting dan prinsip value for money, bagi memastikan dana PTPK digunakan dengan berkesan serta memberi manfaat optimum kepada pelajar dan negara.
“PTPK komited memastikan setiap program latihan yang dibiayai relevan dengan keperluan industri semasa, seterusnya melahirkan graduan TVET yang berdaya saing dan mempunyai masa depan kerjaya yang terjamin,” katanya. – UTUSAN










