KOTA KINABALU: Kekalahan PKR dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah mencerminkan sentimen rakyat terhadap isu tadbir urus, ketelusan, dan kepimpinan.
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, selain itu ia membawa mesej bahawa ketidaksepakatan bukan sahaja melemahkan kekuatan politik tetapi menghakis keyakinan rakyat terhadap keupayaan menawarkan kepimpinan stabil dan bertanggungjawab.
“Saya selaku Timbalan Presiden mengambil tanggungjawab sepenuhnya secara kolektif sebagai sebuah pasukan atas keputusan ini.
“Bersama Datuk Seri Saifuddin Nasution selaku Pengarah Pilihan Raya Bersama, kami sedar bahawa perjalanan panjang sebuah perjuangan bukan terletak pada kemenangan semata-mata.
“Tetapi pada kesediaan untuk menginsafi kelemahan, memperbaikinya dan bangkit semula dengan lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menyaksikan PKR hanya menang satu kerusi daripada semua kawasan ditandingi iaitu DUN Melalap.
Nurul Izzah berkata, PKR menghormati dan menerima dengan rendah diri keputusan rakyat dalam PRN kali ini dan suara rakyat adalah isyarat yang diterimanya dengan hati terbuka.
“Ia sebagai peringatan dan pengajaran yang sentiasa membawa hikmah buat mereka yang ikhlas berjuang.
Katanya, di tengah medan yang mencabar, PKR diberi ruang bertanding di 12 kerusi, suatu peningkatan yang menzahirkan bahawa benih keyakinan terhadap parti ini sedang mula bercambah di bumi Sabah ini.
“Sokongan jentera dan anggota juga semakin mengukuh, ia mungkin bukan kemenangan pada angka, tetapi ia adalah kemenangan pada tekad dan kesungguhan,” katanya. – UTUSAN










