PETALING JAYA: PKR Cabang Batu mengusulkan supaya Timbalan Presiden parti itu, Nurul Izzah Anwar dipertimbangkan untuk bertanding di kerusi Parlimen Batu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Ketua cabangnya, Asheeq Ali Sethi Alivi berkata, perkara itu diusulkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Batu baru-baru ini.
Katanya, mesyuarat sama turut meluluskan satu usul yang menetapkan keutamaan calon Parlimen Batu diberikan kepada ketua cabang.
“Untuk kerusi Parlimen Batu ini, ahli parti usulkan supaya ketua cabang diberikan keutamaan untuk bertanding mewakili PKR.
“Namun, sekiranya pucuk pimpinan parti mempunyai perancangan lain, cabang mencadangkan agar ‘Puteri Reformasi’ itu diletakkan sebagai pengganti.
“Sokongan terhadap Nurul Izzah mencerminkan kehendak akar umbi yang mahukan calon yang berteraskan semangat reformasi serta mempunyai imej bersih,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Pada masa sama, beliau berkata, mana-mana calon yang akan bertanding di Parlimen Batu perlu memfokuskan kepada isu kebajikan serta kelangsungan hidup rakyat di kawasan itu.
Katanya, perkara tersebut penting memandangkan Parlimen Batu merupakan antara kawasan yang berdepan cabaran sosioekonomi besar dalam Wilayah Persekutuan.
“Isu utama yang perlu diberikan perhatian ialah komposisi penduduk di Parlimen Batu. Parlimen Batu merupakan Parlimen yang termiskin di dalam Wilayah Persekutuan.
“Jadi perhatian perlu diberikan kepada kebajikan serta kelangsungan hidup rakyat di Parlimen Batu,” katanya.
Dalam pada itu, Asheeq Ali menyatakan kesediaannya untuk bertanding di kerusi berkenaan sekiranya diberikan mandat oleh kepimpinan parti.
Beliau berkata, keputusan tersebut bagaimanapun bergantung kepada pertimbangan dan penentuan pucuk pimpinan parti.
“Insya-Allah, sekiranya diberikan mandat oleh parti, saya sedia,” katanya.
Kerusi Parlimen Batu kini disandang P. Prabakaran yang telah memenanginya pada PRU14 dan seterusnya berjaya mempertahankan kerusi itu pada PRU15 dalam persaingan 10 penjuru dengan majoriti 22,241 undi. – UTUSAN










