Nurul Izzah kritik PN membazir petrol, anjur konvoi motosikal

Nurul Izzah kritik PN membazir petrol, anjur konvoi motosikal

NURUL IZZAH ANWAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan Perikatan Nasional (PN) menganjurkan konvoi bermotosikal pada Sabtu lalu ketika dunia berhadapan krisis tenaga mengundang kritikan dan disifatkan sebagai pembaziran besar-besaran.

Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, kerajaan di seluruh dunia sedang bertindak segera menangani krisis bahan api dengan menjimatkan penggunaan, membina simpanan dan mempersiapkan ekonomi masing-masing menghadapi ketidaktentuan yang berpanjangan.

“Namun dalam negara kita menyaksikan konvoi motosikal melibatkan ribuan peserta, satu demonstrasi yang jelas menggalakkan penggunaan bahan api secara berlebihan dalam satu acara.

“Ini bukan sekadar tidak peka. Ia mencerminkan kegagalan menetapkan keutamaan yang membimbangkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Moktar menyifatkan acara konvoi bermotosikal sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di Kuala Nerus, Terengganu sebagai simbol perjalanan sebagai satu ummah.

Menurut Menteri Besar Terengganu berkenaan, mereka yang berhimpun dalam acara itu adalah kerana ingin membawa mesej jelas iaitu apabila bersatu maka ummah akan menjadi kuat.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata, Ahmad Samsuri Mokhtar selaku pengerusi PN serta Menteri Besar Terengganu sepatutnya lebih arif dan tidak menganjurkan acara sedemikian.

“Ketika rakyat Malaysia sedang menyesuaikan diri dengan peningkatan kos sara hidup dan kerajaan menanggung beban kewangan melalui subsidi, tindakan seperti ini memberi isyarat yang salah, seolah-olah berjimat cermat itu pilihan dan tanggungjawab itu terpilih,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Izzah mencadangkan had laju dikaji semula sebagai antara usaha menangani krisis bekalan bahan api.

Katanya, pendekatan itu bukan sebagai langkah menghukum tetapi sebagai pendekatan praktikal.

“Walaupun pengurangan penggunaan bahan api kelihatan kecil, apabila dikumpulkan merentas jutaan kenderaan, ia mampu menghasilkan penjimatan yang ketara.

“Krisis bekalan global bukan sekadar isu tenaga, tetapi juga isu ekonomi yang memberi kesan kepada pelbagai industri, rantaian bekalan dan akhirnya kos sara hidup rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN