KUALA LUMPUR: Nurul Izzah Anwar berkongsi khabar duka atas pemergian bapa saudaranya, Idrus Ibrahim yang disapa mesra sebagai ‘Uncle Ros’.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Nurul Izzah yang juga bekas Timbalan Presiden PKR, menyifatkan Allahyarham sebagai insan yang berjiwa besar, mempunyai sifat kasih sayang yang luas, dan sentiasa menyambut sesiapa sahaja dengan kemesraan serta rasa kekeluargaan.
Beliau turut meluahkan rasa kehilangan amat mendalam dan menyatakan kawasan Cheruk To’ Kun serta Jalan Kilang Ubi tidak lagi sama selepas pemergian Allahyarham.
“Segala kebaikan, pengorbanan, sumbangan, dan kasih sayang yang dicurahkan arwah Uncle Ros kepada bapa, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta perjuangan mereka sekeluarga diharapkan menjadi amal jariah yang terus mengalir di sisi Allah SWT,” katanya.
Dalam pada itu, Nurul Izzah turut menitipkan doa serta ucapan takziah buat isteri Allahyarham, ‘Aunty Dah’, anak-anak, dan seluruh ahli keluarga supaya dikurniakan kekuatan, kesabaran, serta ketabahan dalam menghadapi ujian kehilangan besar ini.
Idrus, 83, meninggal dunia ketika sedang tidur di kediamannya di Cheruk To’ Kun.
Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Dewan Solat Masjid Cheruk To’ Kun Bawah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cheruk To’ Kun Bawah selepas solat Jumaat.
Berita pemergian Allahyarham turut menyentuh hati netizen dan rakan taulan di media sosial yang tampil memenuhi ruangan komen dengan titipan doa dan ucapan takziah.
Sementara itu, seorang rakan kenalan Allahyarham, Roslan Mihalis, turut meluahkan sedihnya dengan menyifatkan Cikgu Idrus sebagai seorang abang, guru, dan sahabat dari Jalan Kilang Ubi.
Pengguna media sosial lain seperti Adnan ML dan akaun Van Sewa Terengganu turut mendoakan Allahyarham diampunkan dosa, dirahmati, dilapangkan kubur, serta dimasukkan ke dalam syurga bersama orang-orang yang beriman.
Ucapan takziah turut disuarakan pengguna lain termasuk Snooky Cruz yang menyampaikan ucapan simpati yang mendalam buat Nurul Izzah dan seluruh keluarganya.










