JOHOR BAHRU: Polis menahan empat lelaki tempatan yang disyaki terlibat insiden membakar mercun di atas jalan raya berhampiran lampu isyarat Taman Nesa, Skudai, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Azrol Anuar Nor berkata, kesemua suspek warga tempatan berusia antara 16 hingga 25 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar Skudai pada pukul 7.30 malam.
“Semakan lanjut mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Ujian urin yang dijalankan terhadap kesemuanya mendapati keputusan negatif dadah,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Azrol Anuar, kesemua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan dan Seksyen 48 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pada masa sama, usaha sedang dijalankan bagi mengesan tiga lagi individu yang disyaki terlibat dalam kejadian berkenaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta hubungi talian 07-5563122 atau mengundi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.-UTUSAN











