'Guru tidak lapor diri bukan isu serius kerana jumlahnya sedikit'

‘Guru tidak lapor diri bukan isu serius kerana jumlahnya sedikit’

FADHLINA Sidek (kanan) beramah mesra bersama beberapa murid sekolah ketika hadir pada Majlis Penyerahan Aset Sekolah Angkat MADANI Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap, Nibong Tebal, Pulau Pinang.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Isu guru tidak melapor diri selepas menerima tawaran penempatan dianggap tidak begitu serius buat masa ini kerana jumlah yang berbuat demikian adalah sangat sedikit.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, bagaimanapun, Kementerian Pendidikan (KPM) tetap akan mengambil perhatian akan perkara itu dan cuba untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Saya ingat mereka (guru-guru itu) baru sahaja mendaftarkan diri Isnin lepas. Jadi, masih ada masa lagi untuk kita lihat secara keseluruhannya termasuk mencari punca serta sebab mengapa ia berlaku dan sebagainya.

“Oleh itu, apabila saya dapat laporan penuh nanti iaitu selepas selesai penempatan, mungkin kita akan maklumkanlah kepada semua (dari) semasa ke semasa kerana buat masa ini, kita belum lagi dapat maklumat secara keseluruhan,” katanya.

Fadhlina ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Aset Sekolah Angkat MADANI oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap di sini yang disempurnakan oleh Pengerusi SPA, Datuk Seri Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai terdapat laporan yang memaklumkan bahawa ada guru baharu yang tidak melapor diri ke penempatan seperti yang ditetapkan, malah, ada juga guru yang bertindak meletak jawatan seperti yang berlaku di Sarawak sebelum ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal memaklumkan, lebih 98 peratus penempatan guru di seluruh negara telah diisi sejak tiga tahun lalu yang merangkumi jumlah yang hampir mencecah 53,000 guru secara keseluruhannya.

“Ini adalah iltizam kita iaitu untuk memastikan bahawa pengisian guru dapat kita laksanakan secara bersungguh-sungguh untuk mengatasi kekurangan guru ini.

“Jadi, kalau pengisian itu sudah sampai 98 peratus, maka, saya fikir kita harus terus meningkatkan usaha bagi mengatasi isu-isu kekurangan guru dari semasa ke semasa,” kata beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN