Empat ditahan cuba cetuskan kekecohan di Kg. Sungai Baru

Empat ditahan cuba cetuskan kekecohan di Kg. Sungai Baru

FADIL MARSUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Empat individu termasuk aktivis Rafidah Ibrahim ditahan selepas disyaki cuba mencetuskan kekecohan di Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, di sini, hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, tangkapan dilakukan hasil maklumat suatu perhimpunan yang akan diadakan pada pukul 8 pagi bagi mencetuskan rusuhan dan pecah keamanaan di tapak projek tersebut.

Susulan itu, katanya, empat individu terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan berusia antara 39 hingga 47 tahun ditahan di sekitar lokasi kejadian.

“Keempat-empat individu tersebut semasa ditahan telah menjerit-jerit di mana telah mendatangkan kacau ganggu dan pecah keamanan semasa penugasan kawalan keselamatan di Majlis Pecah Tanah Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.

“Penahanan ke atas empat individu tersebut adalah untuk pencegahan sebagaimana peruntukan di bawah Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) kerana disyaki menjadi individu yang mendalangi perhimpunan yang akan diadakan tersebut ekoran daripada seruan mengajak orang ramai turun protes di Majlis Pecah Tanah Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur oleh penama Rafidah Ibrahim.

“Seruan ini dimuat naik di laman media sosial TikTok miliknya pada 28 November lalu atas tajuk Majlis Pecah Tanah Kampung Sungai Baru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut ke atas keempat-empat orang tersebut berlandaskan peruntukan undang-undang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×