Calon Warisan didakwa terima kawalan luar biasa

Calon Warisan didakwa terima kawalan luar biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) mendakwa berdepan tahap pemantauan luar biasa daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Calon Warisan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru, Datuk Junz Wong mendakwa pegawai SPR seolah-olah mengekori calon parti itu seperti pembantu peribadi apabila hadir hampir ke semua program kempen mereka.

Beliau menyifatkan tahap pemantauan itu sebagai sangat dekat apabila pasukan SPR bersama anggota polis didakwa hadir dalam kumpulan besar dan ada kalanya cuba menghentikan program walaupun permit polis telah diperoleh.

Menurutnya, antara insiden yang berlaku ialah di Hilltop apabila pegawai SPR dikatakan cuba menghalang satu program ceramah atas alasan calon Warisan bagi DUN Likas tidak dibenarkan berucap di kawasan Luyang.

“Arahan itu bercanggah dengan permit polis yang dikeluarkan dan apabila diminta, mereka juga tidak dapat kemukakan sebarang peraturan bertulis untuk menyokong tindakan tersebut.

“Inilah kali pertama saya melihat SPR turun ke padang dengan begitu agresif,” dakwanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Junz mendakwa, pemantauan ketat itu turut melibatkan soal jamuan ringan dan makanan dalam program kemasyarakatan yang dihadiri calon-calon Warisan.

“Jika sebelum ini majlis komuniti membenarkan jamuan selepas program, kini calon dimaklumkan perlu beredar dari lokasi sekiranya ada makanan dihidangkan.

“Perkara ini menimbulkan kekeliruan kepada penduduk kampung dan mencetuskan salah faham apabila calon kami terpaksa beredar lebih awal atas faktor berhati-hati,” katanya.

Bagaimanapun, Junz menegaskan Warisan tidak membantah kewujudan peraturan, sebaliknya menuntut supaya penguatkuasaan dilakukan secara konsisten terhadap semua parti yang bertanding.

“Kami tidak mengadu. Kami hanya meminta keadilan. Satu undang-undang sepatutnya terpakai kepada semua, bukan hanya kepada kami.

“Kami boleh lihat ada pengagihan makanan, tawaran kempen dan kain rentang daripada gabungan lawan yang pada hemat kami tidak menerima tahap penguatkuasaan yang sama,” dakwanya.

Junz turut mendedahkan seorang calon Warisan dipanggil pihak polis baru-baru ini untuk diambil keterangan berhubung satu insiden yang didakwa tidak mempunyai kaitan dengan kawasan diwakilinya.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai satu bentuk tekanan yang tidak wajar ketika tempoh kempen memasuki fasa kritikal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN