'Calon datang sekali, kemudian hilang lima tahun'

‘Calon datang sekali, kemudian hilang lima tahun’

NIZAM Abu Bakar Titingan berucap di hadapan penyokong yang menghadiri ceramah di Rumah Adat Kampung Hidayat, Batu 4.-UTUSAN/BESSE AISYAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Rakyat Sabah tidak terpedaya dengan kehadiran pemimpin yang hanya muncul lima tahun sekali menjelang pilihan raya untuk menawarkan janji-janji manis.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, golongan tersebut datang ke kampung-kampung hanya untuk memancing undi, kemudian menghilang tanpa mempedulikan nasib rakyat.

“Ada orang yang baru timbul lima tahun sekali. Mereka datang hanya ketika pilihan raya, tunjuk prihatin, kononnya mahu bantu. Selama ini mereka tidak pedulikan pun nasib kita di kampung ini.

“Pada 29 November nanti, jangan terpedaya. Undilah pemimpin yang bersama kamu setiap hari, bukan yang datang lima tahun sekali,” katanya dalam program ceramah di Rumah Adat Kampung Hidayat di sini semalam.

Calon Gagasan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata, tindakan pihak tertentu yang menghasut anak muda supaya bersikap biadab dan tidak beradab merupakan budaya luar yang tidak mencerminkan perpaduan masyarakat Sabah.

“Kita di Tawau, Sabah ini hidup aman, harmoni dan bersatu hati walaupun berbilang kaum Bugis, Bajau, Suluk, Banjar, Kadazan, Dusun dan banyak lagi. Jangan biar orang luar datang ajar anak-anak kita jadi kurang sopan hanya kerana mereka mahu undi,” katanya.

Nizam berkata, bahawa Sabah pernah dipinggirkan oleh pemimpin terdahulu yang mengambil hasil seperti minyak dan gas tanpa memberi pulangan setimpal.

Beliau berkata, rekod pentadbiran GRS sejak 2020 membuktikan kerajaan negeri berjaya memulihkan ekonomi Sabah yang terjejas akibat pandemik dengan pendapatan negeri meningkat daripada RM3.9 bilion pada 2020 kepada RM8 bilion pada tahun ini.

“Pelabur yakin kerana Sabah stabil di bawah GRS. Banyak bantuan diperkenalkan, termasuk Sentuhan Kasih Rakyat untuk 100,000 ketua isi rumah, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN