SEPANGGAR: Hampir 300 ahli Parti Warisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau mengambil keputusan keluar parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 November ini.
Gerakan tersebut diketuai bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Warisan, Sabar Dasat, yang bersama kumpulannya menyatakan rasa kecewa dan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu.
Setiausaha Agung PGRS, Datuk Razali Razi berkata, keputusan kumpulan terbabit meninggalkan Warisan merupakan langkah yang tepat setelah menilai keadaan politik semasa di kawasan tersebut.
“Bukan mudah untuk membuat keputusan keluar parti, namun mereka sedar perubahan perlu dilakukan. Mereka hilang keyakinan terhadap Parti Warisan di Sepanggar.
“Maka, keputusan mereka untuk bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah tepat. Tiada isu kesetiaan,” katanya dalam sidang media ketika siri kempen PRN Sabah, di sini, semalam.
Jelas Razali, PGRS juga menjangkakan lebih ramai ahli daripada parti lain akan menyertai GRS dalam masa terdekat, namun enggan mendedahkan lanjut mengenai pihak terlibat.
“Kemungkinan memang ada lagi yang akan keluar dan menyertai GRS, tetapi saya tidak boleh kongsikan buat masa ini,” katanya.
Pada PRN 2020, kerusi DUN Darau dimenangi calon Warisan, Azhar Matussin, dengan majoriti tipis 562 undi.-UTUSAN










