KOTA KINABALU: Peratusan keluar mengundi awal Pilihan Raya Dewan (PRN) Sabah mencatatkan 22.28 peratus setakat pukul 9.00 pagi ini.
Terdahulu, sebanyak 58 pusat pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dibuka serentak di seluruh negeri bermula pukul 8 pagi ini, sebelum ditutup secara berperingkat mengikut ketetapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Proses pengundian awal bagi PRN Sabah membabitkan seramai 24,426 pengundi awal, terdiri daripada 11,697 anggota tentera serta pasangan, manakala 12,729 lagi ialah anggota polis bersama pasangan masing-masing.
Antara pusat mengundi awal yang terlibat termasuk Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, beberapa ibu pejabat polis daerah (IPD) serta kem-kem tentera di seluruh negeri.
SPR sebelum ini memaklumkan bahawa kertas undi awal tidak akan dikira hari ini, sebaliknya akan disimpan dengan keselamatan ketat sebelum proses pengiraan dijalankan pada 29 November, iaitu pada hari pengundian.
PRN kali ini menyaksikan pertandingan terbesar dalam sejarah pilihan raya negeri, dengan 596 calon bertanding merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Daripada jumlah itu, 74 calon bertanding sebagai Bebas, menjadikan persaingan lebih sengit terutama di kawasan majoriti pengundi muda dan kerusi pinggir bandar.-UTUSAN










