1.8 juta pengundi diminta pilih kerajaan yang stabil

1.8 juta pengundi diminta pilih kerajaan yang stabil

UNDI dan pilih kerajaan yang mampu membawa negeri ke arah masa depan lebih stabil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Dalam tempoh kurang 24 jam menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah esok, barisan kepimpinan parti-parti utama di Sabah me­rayu rakyat keluar mengundi dan memilih kerajaan yang mampu membawa negeri ini ke arah masa depan lebih stabil.

PRN kali ini dilihat bukan sekadar pertandingan antara parti, tetapi penentu hala tuju sama ada Sabah terus me­langkah ke fasa pembangunan mapan ataupun kembali ter­perangkap dalam kitaran ketidaktentuan politik.

Pengerusi Gabungan Rak­yat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau menaruh harapan rakyat menilai rekod lima tahun pentadbiran kerajaan negerinya terutama dalam menjana pelaburan, meningkatkan hasil negeri dan membuka ruang pekerjaan.

Beliau berkata, kesinambu­ngan amat diperlukan supaya projek pembangunan tidak terhenti separuh jalan seperti ketika ketidakstabilan politik berlaku sebelum ini.

“Kestabilan politik penting bagi memastikan projek naik taraf bekalan air, pembinaan jalan raya serta pembangunan industri dan pelancongan dapat diteruskan tanpa campur tangan politik yang melemahkan kepercayaan pelabur.

“GRS berharap mandat jelas membolehkan pentadbiran ber­jalan lancar sehingga akhir penggal,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, rakyat Sabah layak hidup dalam ke­adaan lebih baik dan tidak ­terus dibebankan isu asas se­perti air, elektrik dan jalan rosak yang berpanjangan.

Justeru, katanya, BN menawarkan manifesto dinamakan Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1) yang menawarkan komited parti itu jika diberi mandat untuk meme­rintah kerajaan negeri selepas PRN Sabah.

“BN mencadangkan penubuhan Dana Kekayaan Kemakmuran Negeri Sabah bagi memastikan hasil mineral negeri diurus secara telus demi manfaat rak­yat, bukan segelintir pihak. Parti itu berharap PRN kali ini menjadi ruang untuk rakyat memilih kerajaan yang benar-benar bersikap bertanggungjawab terhadap kekayaan negeri,” katanya.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyeru rakyat memilih kerajaan yang memberi keutamaan kepada rakyat, bukan kedudukan atau kepentingan parti.

Katanya, Warisan menjanji­kan kepada pembentukan ke­rajaan bebas rasuah kerana budaya itu menjadi punca utama kelemahan penyampaian perkhidmatan serta kegagalan menyelesaikan masalah keperluan asas di negeri ini.

“Warisan turut mengharapkan mandat kukuh agar perjuangan terhadap hak negeri dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk tuntutan 40 peratus hasil negeri dapat diterus­kan tanpa halangan politik,” katanya.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan menaruh harapan PRN ini membuka lembaran baharu untuk mengembalikan kuasa autonomi sepenuhnya kepada Sabah.

Beliau percaya jurang pembangunan yang besar antara Sabah dan Semenanjung berpunca daripada pembahagian peruntukan pembangunan yang tidak seimbang sejak se­kian lama.

“Star juga menawarkan bahawa teruskan menuntut hak dalam Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia dan sekiranya berjaya, kita akan selesaikan masalah yang selama ini tidak dapat diselesaikan disebabkan tidak cukup dana,” katanya.

Bagi Pengerusi DAP ­Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, pihak­nya secara konsisten menyokong hak-hak Sabah se­perti pemberian khas 40 peratus dan pelaksanaan penuh MA63, namun menolak sebarang pendekatan yang bersifat konfrontasi terhadap kerajaan Persekutuan.

“DAP menyokong penuh hak Sabah untuk mendapatkan kembali apa yang termaktub dalam MA63, termasuk hasil 40 peratus. Tetapi apa yang kita lihat sekarang semakin membimbangkan wujud satu sentimen benci kerajaan Persekutuan.

“Ini cabaran yang dihadapi Sabah. Jika kita benar-benar mahu hak Sabah direalisasikan, pendekatannya mestilah bijaksana dan bertanggungjawab. Sentimen tidak membawa ha­sil, tetapi meja rundingan membawa penyelesaian,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN