Dijangka pertembungan 4-10 penjuru

PRN Sabah: Dijangka pertembungan 4-10 penjuru

Suasana sekitar Hari Penamaan Calon Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17 bagi kawasan Dun N.12 Sulaman, N.13 Pantai Dalit, N.14 Tamparuli dan N.15 Kiulu di Dewan Seri Sulaman, Majlis Daerah Tuaran.-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bermula hari ini dijangka menyaksikan pertembungan lebih empat penjuru membabitkan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selain itu, terdapat kawasan dijangka berhadapan pertembungan lebih 10 penjuru apabila melibatkan calon-calon Bebas bertanding.

Medan pertarungan PRN Sabah membuka gelanggangnya hari ini dengan proses penamaan calon di 25 lokasi bagi merebut 73 kerusi yang dipertandingkan.

Tempoh satu jam diberikan iaitu dari 9 hingga 10 pagi untuk penyerahan borang pencalonan sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) mengumumkan senarai calon yang layak bertanding.

Calon kemudiannya mempunyai tempoh 14 hari untuk berkempen bagi meraih sokongan pengundi, iaitu sehingga 11.59 malam pada 28 November ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan parti politik yang bertanding serta penyokong supaya bersama-sama memastikan ketenteraman awam semasa proses penamaan calon hari ini termasuk mengelakkan sebarang bentuk provokasi.

Barisan Nasional (BN) pula yang membabitkan UMNO, MCA, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan seorang calon langsung akan bertanding di 45 DUN.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengumumkan akan bertanding di 55 DUN terdiri daripada calon Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Cinta Sabah (PCS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat).

Parti Warisan (Warisan), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Parti Impian Sabah masing-masing mengumumkan bertanding di semua 73 DUN, Perikatan Nasional (41 DUN) manakala Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing 40 DUN.

Sementara itu, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengumumkan bertanding di 25 kerusi DUN, Parti Kerjasama Anak Negeri (26 calon), Parti Maju Sabah (SAPP) (enam DUN) dan 17 lagi calon Bebas yang bergerak atas nama Gelombang Hitam (Black Wave) turut bertanding pada PRN ke-17.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN