DALAM dunia politik yang makin hiruk-pikuk, kedudukan dan pengaruh sering kali menjadi lumrah perebutan. Namun, di tengah semua keghairahan itu, ada satu perkara yang tidak boleh sesekali dijadikan bahan mainan iaitu sensitiviti rakyat.
Bukan sahaja sensitif pada soal agama, tetapi juga pada kaum, adat, budaya dan kepercayaan setiap kelompok masyarakat di tanah air ini. Malaysia ini dibangunkan bukan oleh satu bangsa, satu kelompok atau satu fahaman, tetapi oleh sebuah keluarga besar yang namanya rakyat.
Sebab itu, setiap kali seorang ahli politik mengeluarkan kata-kata yang semborono, seluruh negara terasa tempiasnya.
Isu yang tular berkaitan seorang Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah baru-baru ini, yang didakwa menghina rakyat Sabah melalui kenyataan bergurau tentang kempen dengan hanya “roti Gardenia” adalah satu contoh bagaimana lidah seorang pemimpin boleh menjadi pedang yang mencarik kepercayaan rakyat.
Ada kalanya niat mungkin mahu berjenaka, tetapi bukan semua jenaka itu wajar sehingga boleh menyentuh maruah, mencuit perasaan atau memalitkan bangsa tertentu dengan imej yang tidak tepat. Bagi masyarakat Sabah, yang sudah puluhan tahun berhadapan stereotaip, sindiran sebegitu terasa seperti memori lama yang dibuka semula. Pedihnya tidak sedikit.
Cerminan Rakyat
Seorang ahli politik sepatutnya menjadi cerminan rakyat. Setiap kata adalah amanah. Setiap ucapan adalah tanda aras kepimpinan.
Jika pemimpin tergelincir lidah, rakyat bukan sekadar terasa tetapi mereka hilang hormat. Apatah lagi dalam suasana Malaysia yang sangat rencam, di mana isu agama dan kaum boleh mencetuskan emosi dengan begitu cepat.
Pemimpin perlu lebih berhati-hati daripada orang biasa. Kalau rakyat marhaen tersalah cakap, itu mungkin salah individu. Tetapi jika seorang pemimpin tersalah cakap, itu membawa kecederaan kepada seluruh struktur politik, kepada parti, kepada kerajaan, malah kepada hubungan antara negeri.
Ramai beranggapan bahawa politik memerlukan keberanian berkata-kata. Ya, benar.
Tetapi keberanian yang ‘bodoh-berjalang’ bukan keberanian yang kita perlukan. Yang kita perlukan ialah keberanian yang beradab. Keberanian yang mengangkat nilai kemanusiaan. Keberanian yang menjaga hati.
Kita tidak mahu pemimpin yang hanya laju bercakap tetapi lambat berfikir. Kita tidak perlukan ahli politik yang menjadikan masyarakat sebagai bahan sindiran demi tepukan di pentas ceramah. Politik bukan pentas lawak. Politik adalah medan amanah.
Kalau seorang Exco boleh bergurau dengan nada yang merendahkan negeri lain, apa bezanya tindakan itu dengan budaya memperlekeh sesama kaum? Apa bezanya dengan kata-kata yang membakar api regionalisme?
Kita hidup dalam negara yang sensitif, tetapi bukan kerana rakyat terlalu manja.
Rakyat sensitif kerana sejarah negara ini dibina atas darah dan air mata yang memerlukan semua untuk saling hormat-menghormati sehingga dapat hidup aman hari ini. Bila seorang pemimpin memecahkan tembok hormat itu, ia bukan lagi tentang ‘gurauan tidak sengaja’ tetapi tentang kecuaian yang tidak boleh dipandang ringan.
Bukan Rakyat Kelas Kedua
Sikap kerana ‘secawan kopi pun boleh bergaduh’ bukan datang daripada rakyat. Ia datang daripada pemimpin yang sering menguji sempadan. Rakyat marah bukan kerana mahu mencari salah. Rakyat marah kerana rasa dihina bukan sekali dua.
Bila seorang wakil rakyat bercakap, suaranya bukan suara seorang individu, tetapi suara mereka yang memilihnya. Maka bila dia tersalah cakap, rakyat rasa seperti dia membawa nama negeri dengan cara yang memalukan!
Dalam kes Sabah, rakyatnya sudah cukup lama dianggap ‘lain’ hanya kerana jarak geografi, bahasa, dialek dan budaya. Sedangkan Sabah itu tanah kaya hati, kaya keberanian, kaya perpaduan.
Mereka bukan rakyat kelas kedua. Mereka bukan ‘pengundi yang senang dibeli dengan roti.’ Mereka rakyat yang berharga, bermaruah dan penuh kesetiaan kepada negara.
Maka, bila muncul kata-kata yang menggugat maruah itu, ia bukan sekadar satu kenyataan kecil, tetapi ia adalah satu luka kolektif.
Ahli politik perlu sedar bahawa rakyat hari ini bukan lagi rakyat 20 tahun dahulu.
Mereka berpendidikan, berinformasi, celik media dan celik maruah. Mereka ada suara, dan suara itu bergema bukan saja di kampung atau pekan, tetapi di seluruh media sosial, di ruang digital yang tidak pernah terlena.
Mana-mana pemimpin yang tersilap langkah akan dihukum oleh rakyat, bukan dengan tangan, tetapi dengan mematikan kepercayaan. Dan kepercayaan yang hilang itu tidak boleh dibeli dengan roti mahupun kata maaf yang dilafaz sambil lewa.
Inilah masa untuk ahli politik memikirkan semula cara mereka berkomunikasi. Tidak salah untuk berjenaka, tetapi biarlah jenaka itu tidak menggores maruah sesiapa.
Tidak salah menjadi kritis, tetapi biarlah kritis itu membina, bukan menghina. Tidak salah menyerang lawan politik, tetapi jangan jadikan rakyat sebagai mangsa serangan berlapik. Pemimpin harus belajar membezakan antara humor yang menyegar dan humor yang menjatuhkan.
Antara kritikan yang mengangkat rakyat dan kritikan yang mencemar keharmonian.
Bina Kepercayaan
Rakyat Malaysia sudah penat dengan politik murahan. Kita mahu politik yang mendidik, bukan memperbodoh. Kita mahu politik yang menenangkan, bukan memecahbelah. Kita mahu politik yang membina kepercayaan, bukan menjarah perasaan.
Maka, jika ada ahli politik yang masih menganggap sensitiviti rakyat adalah perkara kecil, mereka sebenarnya sedang menggali liang untuk reputasi mereka sendiri.
Dalam erti kata lain, pemimpin yang tidak menjaga lidahnya tidak layak menjaga amanah rakyat. Kerana kepimpinan bukan hanya pada apa yang dibuat, tetapi juga pada apa yang diucapkan. Ucapan itu mencerminkan nilai diri.
Kalau lidah pun tidak mampu dijaga, bagaimana mahu menjaga negara?
Rakyat Malaysia, dari Perlis sampai ke Sabah, bukan meminta pemimpin itu sempurna. Mereka hanya meminta sedikit budi. Sedikit hormat. Sedikit empati. Dan kalau itu pun masih gagal diberikan, maka mungkin tiba masanya rakyat bertanya, adakah pemimpin sebegini masih layak berada di pentas politik tanah air?
Politik tidak boleh dibina atas kelakar yang menghina rakyat. Politik mesti dibina atas akhlak, hikmah dan kebijaksanaan.
Sebab itu, sebelum ahli politik bercakap, fikirkanlah, “Adakah kata-kata aku ini menyakiti hati sesiapa?” Kerana dalam negara yang majmuk, satu ayat boleh menjadi jambatan, tetapi satu ayat yang lain boleh menjadi api. Pemimpinlah yang memilih.
Semoga insiden ini menjadi peringatan buat semua. Pemimpin harus mendahulukan adab daripada ego, hikmah daripada gurauan, dan rakyat daripada tepukan. Negara ini terlalu indah untuk dirosakkan oleh kata-kata yang tidak dijaga. – UTUSAN
ATRIZA Umar ialah Calon Ijazah Kedoktoran Kepimpinan Wanita.










